Tiada Hari Raya terkejut, umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri pada Sabtu

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Sabtu, 22 April 2023,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

Susulan pengumuman itu, umat Islam akan melengkapkan puasa hingga 30 Ramadan esok sebelum menyambut 1 Syawal pada Sabtu.

Cerapan rasmi hilal 1 Syawal 1444H yang dilakukan di Menara KL pada 20 April 2023. Foto Tangkapan layar siaran langsung Astro AWANI

Terdahulu, aktiviti cerapan hilal 1 Syawal telah diadakan 29 lokasi di seluruh negara petang tadi iaitu 29 Ramadan 1444H.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melaksanakan cerapan Rasmi Hilal Syawal 1444H di Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan Tingkat 10, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Kriteria Imkanur Rukyah yang diguna pakai ialah ketinggian hilal ketika matahari terbenam tidak kurang daripada 3° manakala jarak lengkung bulan dan matahari tidak kurang daripada 6.4°.

Cerapan bermula daripada Balai Cerap Al-Biruni, Sabah sehingga tapak cerapan yang terakhir di Pemandangan Indah, Langkawi.

Hasil laporan cerapan dimaklumkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk dinilai dan dibincangkan sebelum dibawa menghadap kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

BACA JUGA Data analisis anak bulan Syawal berada pada posisi sukar dilihat – JUPEM