Tiga tahun Kedah di bawah Sanusi, tiada penyelesaian masalah air?

Ahli parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyoal samada Menteri Besar Kedah Datuk Sanusi Md Nor mempunyai pelan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah air.

Namun, di manakah pelan jangka masa panjang untuk menyelesaikan masalah ini?

“Beliau sudah menjadi Menteri Besar Kedah hampir 3 tahun tetapi masih tidak berhenti menyalahkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan yang hanya sempat memerintah selama 2 tahun. Takkan dalam masa 3 tahun pentadbiran beliau masih tidak ada perancangan langsung untuk menyelesaikan masalah air ini?” Taufiq berkata dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada tuduhan Sanusi pentadbiran Pakatan Harapan terdahulu menyebabkan kelewatan usaha menaik taraf infrastruktur air negeri Kedah meskipun kerajaan negeri telah pun mengenalpasti dan memuktamadkan langkah mengatasi masalah air tidak terhasil, pengganituan paip utama dan keperluan loji rawatan air baharu sejak 2013.

Sanusi membuat tuduhan tersebut menerusi laman Facebooknya.

Masalah air belum sampai tahap krisis

Taufiq turut mengingatkan Sanusi yang juga pemimpin Pas bahawa dia (Sanusi) sendiri menyatakan masalah bekalan air Kedah belum sampai ke tahap krisis sebagaimana yang telah dilaporkan Utusan Malaysia pada 21 Mac.

Tindakan ini, menurut Taufiq, memperlekehkan masalah yang dihadapi rakyat negeri Kedah.

“Soalan saya,di manakah kontigensi yang disebut-sebut? Katanya menjelang Ramadan dan Syawal.

“Katanya ada persiapan lebih awal. Tetapi realitinya, rakyat Kedah terpaksa menyambut Syawal dengan masalah air kerana MB Kedah tidak cekap, bersikap tidak peduli dan sedang dalam sindrom penafian terkait krisis ini.”

Oleh itu Taufiq menasihatkan Sanusi agar berhenti menuduh pentadbiran Pakatan Harapan terdahulu dan sebaliknya melaksanakan jalan penyelesaian.

“Berhentilah menunding jari. Mulakan kerja sekarang untuk selesaikan krisis ini. Berhentilah menafikan bahawa kita di Kedah sedang menghadapi krisis.

“Saya desak MB Kedah supaya laksanakan pelan solusi jangka masa pendek untuk memudahkan rakyat Kedah menyambut Hari Raya Aidilfitri, dan wujudkan pelan jangka masa panjang supaya rakyat Kedah tidak perlu lagi menghadapi krisis tahunan ini.”

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah Datuk Dr Ismail Salleh turut mengkritik sikap tidak peduli Sanusi dalam menyelesaikan masalah bekalan air ini.