Tol percuma jimatkan kos rakyat sambut lebaran

Pengecualian bayaran tol selama empat hari yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Hari Raya Aidilfitri menerima maklum balas positif daripada orang ramai.

Tol percuma bermula semalam hingga 21 dan 24 April itu dilihat dapat membantu rakyat mengurangkan kos untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri ini.

Tinjauan Harapan Daily di media sosial mendapati, rata-rata warga maya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang disifatkan sebagai memahami denyut nadi rakyat.

Seorang warga maya yang menggunakan nama Mart X Lagend menzahirkan rasa syukur dengan pengecualian bayaran tol daripada pihak Kerajaan Perpaduan.

”Syukur PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memahami denyut nadi rakyat,” tulis pemuda itu di ruangan komen laman sosial.

Khatijah Sui pula tumpang gembira dengan khabar diumumkan kerajaan itu walaupun tidak pulang beraya di kampung.

Alhamdulillah walaupun tak balik kampung, saya tetap tumpang gembira, ringan sikit beban saudara-saudara saya.. terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan!,” katanya.

Tidak kurang pula, ada golongan masyarakat yang teruja menggunakan lebuh raya untuk pergi beraya di rumah sanak saudara dan sahabat handai.

“Alhamdulillah lepas ini bolehlah nak pergi beraya masuk highway je. Cepat dan jimat masa,” tulis Yusof Jalil selepas khabar gembira itu diumumkan kerajaan.

Kelmarin, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan, inisiatif tersebut melibatkan 33 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan.

Beliau berkata, ikhtiar itu dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan menanggung kira-kira RM93 juta bagi pemberian Tol Rahmah percuma kepada pengguna lebuh raya selama empat hari itu.

Katanya, pemberian tol percuma pada 19 hingga 21 April dan juga pada 24 April (Isnin) membabitkan 33 lebuh raya utama negara, adalah satu daripada aspirasi Madani untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.