Tunisia bergolak: Polis tahan pemimpin Ennahda

Polis Tunisia telah menyerbu rumah ketua Parti Islam Ennahda (Renaissance), Rached Ghannouchi dan menangkapnya pada 17 April lalu.

Menurut parti itu dipetik Middle East Eye, polis menggeledah rumah pemimpin berkenaan dan memberitahu akan membawanya ke balai polis untuk disoal siasat.

Anak perempuan Ghannouchi, Yusra memberitahu bahawa bapanya telah ditangkap semasa serbuan di rumahnya selepas ketua pembangkang tersebut sebelum ini dipanggil oleh polis atas “tuduhan rekaan yang melucukan”.

“Ayah saya dengan rela hati pergi ke pelbagai soal siasat yang mana dia telah dipanggil oleh sistem rampasan kuasa yang tidak adil atas tuduhan rekaan yang melucukan.

“Namun, Saied memilih untuk mengarahkan serbuan rumahnya & penahanannya selepas matahari terbenam pada malam paling suci bulan Ramadan,” ciap Yusra di Twitter.

Sementaraa itu, Parti Ennahda mengecam penahanan itu dan menyifatkannya sebagai “perkembangan yang sangat berbahaya” serta menggesa pemimpin itu segera dibebaskan.

Ghannouchi ialah pemimpin parti Ennahda yang terbaharu ditangkap oleh polis Tunisia.

Februari lalu, pihak berkuasa negara itu menahan pemimpin kanan parti Ennahda, Said Ferjani manakala bekas Perdana Menteri Tunisia, Ali Laarayedh dipenjara sejak Disember 2022.

Tunisia dilanda kemelut politik sejak Kais Saied membubarkan kerajaan pada 25 Julai 2021 di tengah krisis ekonomi dan lonjakan kes Covid-19.

Kais mengambil alih pemerintahan Tunisia dan mendakwa mahu menyelamatkan negara itu daripada krisis selepas bertahun-tahun terpalit rasuah, kemerosotan ekonomi dan kelumpuhan politik.