Anak perantau teruja balik kampung, bantuan Rahmah banyak membantu

Golongan perantau terutama yang mendapat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pastinya teruja balik kampung meraikan Aidilfitri tahun ini.

Bantuan yang dikreditkan ke akaun rakyat awal April lalu sangat membantu untuk menyediakan kelengkapan keperluan Hari Raya.

Nur Farah Hanim

Seorang pekerja swasta, Nur Farah Hanim Daud, 30, berkata, beliau sejak Mac lagi sudah pun membeli tiket pulang ke Kluang, Johor sebagai persediaan kerana bimbang kehabisan tiket bas.

Nur Farah juga bersyukur walaupun beliau tidak layak mendapat bantuan Rahmah dari kerajaan, namun ibu bapanya masih mendapat bantuan tersebut sekaligus serba sedikit membantu persiapan raya.

“Raya kali ini amat bermakna. Tahun lepas raya mengejut, jadi tahun ini saya bersiap sedia lebih awal. Mak ayah pun berharap saya dapat pulang awal supaya boleh bantu memasak dan menyediakan juadah Hari Raya.

“Tahun ini saja saya berbelanja dalam RM1,200 termasuk kuih untuk bawa balik kampung.

“Tapi syukur ada juga sedikit bantuan daripada kerajaan, dapatlah saya buat persediaan lebih awal,” katanya ketika Harapan Daily membuat tinjauan di sebuah pusat beli belah di Damansara.

Sementara itu, bagi anak Terengganu yang merantau di Selangor, Umi Salmah Abu Bakar, 28, beliau meluahkan rasa syukur kerana bantuan kerajaan dapat digunakan bagi menampung keperluan harian selepas wang gaji dibelanjakan untuk membeli barangan Hari Raya.

Umi Salmah yang mempunyai lapan adik-beradik itu berkata, tahun ini sahaja dia berbelanja lebih RM1,000 untuk kelengkapan baju raya buat ibu bapa dan adik-adiknya.

“Alhamdulillah. Lega sedikit kerana bantuan Rahmah sudah dikreditkan ke akaun. Saya guna RM100 untuk makan selama seminggu. Ketika itu pun, duit dah tinggal sedikit sebab beli kelengkapan raya.

“Saya rindu suasana kampung. Teruja nak jumpa mak ayah, dan tunjuk baju raya mereka. Raya pertama tahun ini kami rancang akan adakan BBQ dengan sanak saudara. Saja, buat kelainan,” ujarnya.

Jalan Tunku Abdul Rahman menjadi tumpuan warga kota untuk membeli persiapan menyambut Aidilfitri.

Bagi seorang pekerja butik tudung di One Utama, Nurulain Izzati Mohamad, 25, pula berkata, disebabkan kos makanan di pusat beli belah itu agak mahal, beliau menggunakan wang bantuan kerajaan untuknya membeli makanan harian.

Tahun ini juga katanya, beliau pulang lebih awal bertemu keluarga ekoran ayahnya terpaksa bekerja ke luar negara pada Hari Raya pertama.

“Sambutan Hari Raya saya sama sahaja macam orang lain. Berkumpul sanak saudara, masak malam raya dan beraya rumah makcik dan pakcik.

“Cuma tahun ini saya pulang lebih awal kerana abah saya akan bergerak ke Thailand pada raya pertama. Agak sedih raya tanpa abah tapi tak apalah. Saya gembira jika abah gembira,” katanya.

Untuk rekod, bayaran STR fasa dua telah dikreditkan ke akaun bank penerima berdaftar secara berperingkat pada 5 April lalu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan pembayaran STR fasa dua yang melibatkan nilai RM1.26 bilion itu akan disalurkan kepada 8.7 juta penerima golongan B40.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya pada hari-hari puncak bermula 20 April, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

BACA JUGA Rakyat akui STR bantu ringan beban menjelang Aidilfitri