Cukup makan secara sederhana, jangan jadi penyumbang statistik penyakit

Selepas sebulan berpuasa, umat Islam dinasihatkan agar menikmati juadah Aidilfitri secara berhemah demi kesihatan diri yang terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan, berkata aspek kawalan kendiri perlu diterapkan ketika menjamu selera.

Menurutnya, kesedaran itu perlu ada ketika bergembira selepas setahun tidak pulang ke kampung.

Beliau menasihatkan agar orang ramai dapat memastikan pengambilan makanan yang seimbang bersama nutrisi yang sihat dan mencukupi.

“Aidilfitri tahun ini amat bermakna tetapi dalam beraya, aspek pemakanan perlu diberi perhatian bagi mengelak risiko kesihatan yang akan datang.

“Sediakan sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai pencuci mulut sebagai amalan pemakanan yang sihat walaupun semasa sambutan perayaan.

S Veerapan

“Pengambilan air juga boleh disediakan dua jenis minuman panas atau sejuk tetapi disarankan untuk lebih banyak mengambil air kosong,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Tegasnya, mereka yang terdedah kepada penyakit diabetes dan darah tinggi, disarankan untuk mengurangkan pengambilan makanan yang terlalu manis, berlemak dan terlalu masin.

Contohnya, kata beliau, air berkarbonat dan lauk-pauk yang mengandungi tinggi kandungan santan dan minyak.

Jelasnya, makan secara berlebihan pada bulan Syawal ini boleh mengakibatkan peningkatan berat badan sekali gus terdedah kepada risiko penyakit kencing manis, obesiti dan darah tinggi.

“Jangan makan sampai memudaratkan, imbangi hidangan berat dengan buah dan sayur-sayuran serta air kosong,” nasihatnya lagi.

BACA JUGA Makanan ringkas tapi berkhasiat: Orang ramai puji Menu Rahmah