Dari Ketari ke Bentong, YB Rara tetap ukir senyuman santuni rakyat
Bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari kini bergelar Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman boleh dianggap seorang wakil rakyat yang popular.
Mesra dikenali sebagai Rara, Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan ini memenangi kerusi DUN di Pahang itu pada PRU14 lalu.
Biarpun mendapat mandat yang lebih berat dengan membawa suara rakyat di Parlimen, namun anak kelahiran Sitiawan berkenaan berpendapat, tanggungjawab itu tiada beza dengan tugas hakikinya sebelum ini.
“Pengalaman menyambut Ramadan buat pertama kali sebagai Ahli Parlimen bagi saya tiada bezanya kecuali kawasan saya berkhidmat kini menjadi lebih besar.
“Jika dahulu, saya hanya tertumpu di kawasan Ketari sahaja. Kini, saya perlu menjelajah ke segenap ceruk Parlimen Bentong untuk menyantuni dan berbuka puasa bersama-sama penduduk,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Bagi ahli politik berusia 33 tahun tersebut, hasil pengalaman beliau yang sudah lima tahun menjadi wakil rakyat negeri Darul Makmur itu digunakan sebaik mungkin untuk menyantuni warga Bentong.
“Aktiviti masih sama, setiap hari saya akan berbuka puasa di masjid atau surau dan menyampaikan bantuan beg makanan kepada penduduk yang memerlukan selain meninjau dan mendengar aduan daripada masyarakat setempat,” katanya.
Bagi Aidilfitri tahun ini, anak keenam daripada tujuh adik beradik itu memilih untuk beraya bersama dengan keluarga.
Hasratnya, biarlah Syawal pada era Kerajaan Madani ini membawa seribu satu kenangan buat dirinya dan keluarga.
“Untuk Syawal pula, saya akan bercuti pada minggu pertama Raya untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama keluarga saya.
“Kemudian saya akan kembali bekerja dan tahun ini pejabat saya akan mengadakan jamuan Aidilfitri di setiap DUN agar saya dapat bertemu dengan penduduk,” katanya kepada Harapan Daily.
Pada PRU15, Rara meraih undi majoriti sebanyak 25,075 sekali gus mengenepikan pencabar terdekatnya yang merupakan bekas Presiden Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) Tan Sri Liow Tiong Lai yang memperoleh 24,383 undi dan wakil Bersatu Roslan Hasan dengan hanya 16,233 undi.
Sebelum ini, beliau juga sudah menjawat jawatan sebagai ADUN Ketari selama sepenggal selepas memenangi kerusi terbabit pada tahun 2018.
BACA JUGA Prestasi cemerlang menteri DAP diyakini mampu pikat sokongan rakyat