Lapan beradik main mercun imbau nostalgia waktu kecil

Ibarat tidak lengkap rasanya suasana Aidilfitri tanpa dentuman mercun. Itulah barangkali yang dirasakan segelintir penduduk Felda Maokil di Johor.

Walaupun saban tahun, ada sahaja kes kecederaan dek kerana bermain mercun di seluruh negara tetapi aspek keselamatan nampaknya sudah ada dalam tangan mereka di kawasan penempatan Felda di Labis itu.

Bagi yang berpengalaman dan cukup dewasa, mereka sudah biasa bermain mercun dengan gembira bukannya diakhiri linangan air mata.

Antaranya, Muhamad Asyraf, 26. Anak muda ini bersama tujuh beradiknya masih lagi menghidupkan malam raya dengan bunga api dan mercun meraikan kedatangan bulan Syawal.

Menurutnya, jenis mercun yang digunakan adalah kategori yang dibenarkan kerajaan dan tidak berbahaya.

Malahan untuk anak kecil, beliau hanya membenarkan mereka bermain dengan bunga api besi dan mercun ‘pop-pop’.

“Main mercun ini dah jadi tradisi kami lapan beradik. Malam raya kami akan bakar lapan jenis mercun bersama-sama.

“Keseronokan itu tak tergambar sebab semua adik beradik berkumpul dan bergembira. Hari-hari lain jarang kami dapat berkumpul begitu.

“Kebiasaannya selepas berbuka puasa, kami akan pasang pelita dan terus berkumpul di luar rumah untuk bakar bunga api yang kami panggil ‘Bunga Api Merdeka’.

“Tetapi kami pastikan semua orang bermain dengan selamat. Kami awasi setiap masa. Anak-anak buah yang lebih kecil pula cuma dibolehkan bermain bunga api sahaja,” katanya kepada Harapan Daily.

Walaupun seronok bergembira, perasaan dan ketenteraman penduduk kampung tetap diambil berat.

Asyraf berkata, bagi menghormati jiran tetangga, dia dan adik beradik juga tidak akan bermain mercun selepas jam 11 malam.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun di kawasan berdekatan dengan rumah jiran.

Apa lagi, katanya, bermain bahan api itu di halaman rumah atau depan pagar jiran lantaran dikhuatiri mengganggu dan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan mereka.

BACA JUGA Jamah usah tamak, elak jadi kawan ‘makhluk’ itu