Pentadbiran hal ehwal Islam tangani saki baki peninggalan kerajaan terdahulu

Pentadbiran hal ehwal Islam sedang menangani saki baki peninggalan kerajaan terdahulu membabitkan kakitangan yang dilantik sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan pada hujung tahun lalu.

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata pihak mereka bertindak mengikut tatacara dan prosedur pentadbiran selain menghormati hak setiap pekerja yang telah menandatangani kontrak tertentu.

“Seseorang yang dilantik bukan melalui lantikan politik, dia berhak terus kerja hingga satu tempoh dengan menghormati dasar-dasar kerajaan baharu.

“Jadi kecenderungan politik seseorang pegawai hendaklah satu bersifat peribadi, ini dalam konteks pekerja kontrak tetapi kalau pekerja tetap kita tidak boleh ganggu, kalau fahaman politik itu bersifat peribadi dan kita harap mereka menghormati dasar kerajaan semasa,” kata Dr Muhamad Razak Idris kepada Harapan Daily ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Muhamad Razak berkata proses ‘pembersihan’ itu dilihat lambat sebenarnya disebabkan terdapat beberapa perlantikan melihatkan perjanjian komersial terutama melibatkan TV Hijrah.

Selain itu jelasnya, terdapat juga teguran daripada orang ramai berhubung pelantikan dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Mereka ada perjanjian komersial dan pihak TV Hijrah hendak nilai semula supaya perjanjian itu, (perjanjian sedia ada) dapat dihormari, sebab lambat itu.

“Kalau tidak dipatuhi akan membawa kepada kesan dari segi undang-undang,” katanya.

Malah Muhamad Razak berkata kerajaan terpaksa membayar pampasan hampiran ratusan ribu ringgit apabila perlu menghentikan khidmat segelintir pegawai yang agak menonjol dari segi penglibatannya dengan parti lawan.

“Sebab ada antara mereka menyatakan pelantikan mereka dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Muhamad Razak, sekarang hampir 90 peratus urusan penyelarasan semula pentadbiran hal ehwal Islam di bawah teraju Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah dilakukan supaya sejajar dengan dasar semasa sudah diselesaikan.

“Yang berlaku beberapa isu kecil dan boleh ditangani dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

BACA JUGA: Selepas ‘dapat makan’ dalam YADIM, pusat tahfiz Pas pula dapat slot di TV AlHijrah