PRN: DAP Pulau Pinang kekal bertanding di kerusi sama
DAP Pulau Pinang turut mahu mengambil langkah sama iaitu semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusinya Chow Kon Yeow berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP semalam.
“Jadi (kepimpinan DAP) semua negeri yang mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri perlu menggunakan prinsip ini untuk memulakan rundingan dan dengan itu UMNO Pulau Pinang pasti mendapat dua kerusi penyandang (Permatang Berangan dan Sungai Dua).
“Berdasarkan prinsip ini, kami tidak akan meminta kerusi mereka dan begitu juga sebaliknya,” katanya pada majlis pelancaran Program Biasiswa Ancom Crop Care Pulau Pinang semalam, lapor Bernama.
Sebelum ini PH dan BN di Selangor, Negeri Sembilan serta Kedah dilaporkan telah mengambil keputusan untuk masing-masing kekal bertanding di kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya 2018.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PH negeri berkata empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini di bawah Perikatan Nasional (PN) iaitu Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Teluk Bahang masih terbuka untuk rundingan antara parti Kerajaan Perpaduan.
“Kerusi yang tidak dimenangi PH pada pilihan raya sebelum ini, mungkin terbuka untuk perbincangan,” katanya yang juga Ketua Menteri.
Pada pilihan raya umum 2018, PH menang 37 daripada 40 kerusi ketika Bersatu masih dalam gabungan politik itu manakala BN menang dua kerusi dan satu kerusi lagi dimenangi Pas iaitu Penaga.
Beliau berkata kini tinggal kira-kira 80 hari lagi sebelum pembubaran DUN Pulau Pinang.
“Dari sekarang sehingga pembubaran mungkin kurang daripada 80 hari, tetapi mungkin jika termasuk tempoh berkempen sehingga hari mengundi, akan ada kira-kira 100 hari. Tempoh 100 hari ini sangat kritikal dan penting kerana semua parti dan calon akan memantapkan jentera mereka bagi menghadapi PRN nanti,” katanya.
Chow berharap rundingan kerusi dapat dimuktamadkan dan proses pemilihan calon untuk DAP juga dapat dilakukan dengan sempurna.
BACA JUGA: Prestasi cemerlang menteri DAP diyakini mampu pikat sokongan rakyat