Rakyat cukup makan? Dr Taufiq tidak sempat fikir fasal baju raya

Merayakan Syawal tahun ini sebagai wakil rakyat, Dr Mohammed Taufiq Johari berasa sangat teruja kerana diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani di bawah kepimpinan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bergelar Yang Berhormat (YB) pada usia baharu 27 tahun, beliau memenangi satu-satunya kerusi Parlimen di Kedah mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Saya boleh melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh dijadikan sebagai contoh sebagai seorang pemimpin terhadap diri saya sebagai pemimpin muda yang baharu.

“Saya perlukan juga pemimpin senior untuk dijadikan contoh dan ternyata PM Anwar sudah memperlihatkan teladan yang baik dan wajar untuk diikuti,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi.

Menurutnya, bantuan khas Aidilfitri yang dihulurkan oleh Kerajaan Perpaduan kepada rakyat marhaen khususnya golongan B40 membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap penerima bantuan untuk membuat persiapan menyambut lebaran pada tahun ini.

Dr Taufiq merupakan anak keenam Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Sebagai pemimpin muda dengan idea baharu dan segar, Taufiq bertekad untuk merancang serta membawa perubahan yang bakal memberi manfaat dan kebaikan bukan sahaja kepada penduduk di Sungai Petani tetapi juga seluruh rakyat Kedah.

Pada sambutan Aidilfitri tahun ini, anak keenam daripada lapan beradik yang juga merupakan putera kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul itu turut berkongsi perbezaan pengalaman pertamanya menyambut Hari Lebaran.

“Jika dahulu saya sibuk hendak cari baju raya, berhubung dengan kawan-kawan lama untuk berjumpa dan fokus bersama dengan keluarga.

“Namun, sekarang selepas menjadi wakil rakyat, saya tidak sempat hendak fikir fasal baju raya sendiri malah memikirkan tentang masyarakat setempat untuk mereka menyambut Aidilfitri.

“Adakah makanan mereka cukup atau tidak? Baju raya mereka sudah dibeli atau belum?”soalnya.

Pada tahun ini, Taufiq turut teruja membuat persediaan untuk mengadakan sambutan hari raya peringkat Parlimen Sungai Petani yang julung kali diadakan pada tahun ini sebagai tanda menyambut hari kemenangan di samping menghargai pengundinya.

Di kesempatan ini, wakil rakyat muda dan bergaya itu juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat Sungai Petani yang dikasihi dan dicintai.

“Saya harap semua balik kampung dalam keadaan selamat sampai ke tempat tujuan dan selamat pulang ke tempat masing-masing.

“Jaga makan, diri, kesihatan dan semoga berbahagia bersama keluarga tersayang,” ucapnya lagi.

BACA JUGA Orang Melayu semakin terpinggir? Dr Taufiq bidas Dr Mahathir

Â