Semangat perpaduan, pengorbanan jadi bekalan untuk kesejahteraan negara – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat agar menjadikan semangat perpaduan, pengorbanan, keikhlasan dan disiplin ketika Ramadan menjadi bekalan untuk kesejahteraan masyarakat serta negara.

Perdana Menteri berkata mana-mana negara yang mahu meningkat maju harus berteraskan kepada keyakinan, nilai ihsan dan rahmah.

“Ini yang dipupuk tetapi yang jadi paksi keluhuran adalah keluhuran jiwa dengan keinginan membuat perubahan dengan menetapkan sesuatu prinsip disiplin dan rahmah yang kita lalui dalam latihan Ramadan.

“Maka dalam tatakelola kerajaan pun kami tegas untuk kembalikan maruah dan integriti, menolak sebarang kebobrokan rasuah dan penyelewengan supaya nasib rakyat akan terjamin dan maruah bangsa dapat ditebus semula,” kata beliau dalam perutusan sempena Aidilfitri yang dikongsi melalui hantaran rakaman video di Facebook beliau malam ini.

Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam di dalam dan luar negara yang bertungkus-lumus berkhidmat selain pasukan pertahanan dan keselamatan negara dalam mengangkat martabat negara.

“Mudah-mudahan dengan usaha dan khidmat mereka di dalam negara dan seluruh dunia akan terus memberikan kekuatan baharu kepada negara yang seharusnya diangkat martabatnya,” katanya.

Perdana Menteri berharap semoga penyempurnaan ibadah puasa yang dilalui seluruh rakyat dapat mencapai ke tahap ketaqwaan.

“Ini kita dijamin kepada keadaan bersih fitrah insaniah, manfaatkan waktu ini untuk meningkatkan silaturahim, ukhuwah saling ziarah menziarahi dan tambah rasa ihsan dan rahmah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Anwar mengesyorkan agar semangat perpaduan, pengorbanan, daya juang dipupuk terus betserta sikap ihsan dan rahmah ditingkatkan kepada golongan masyarakat daif dan melarat serta mereka yang terpinggir tanpa mengira kaum.

“Alhamdulillah kita berjaya menyempurnakan ibadah puasa pada bulan Ramadan Mubarak dan kini kita bakal menyambut Aidilfitri sesuai dengan tradisi dan budaya yang dipupuk oleh Islam – kesederhanaannya, silaturahminya serta mesti pertahankan tingkatan amal dan kebersihan jiwa yang cuba kita lakukan di bulan Ramadan.

“Saya, Azizah dan keluarga ingin mengucapkan salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat seluruh rakyat Malaysia, termasuk yang bertugas dan berada di perantauan,” katanya.

Umat Islam di negara ini menyambut 1 Syawal dan bertakbir bermula selepas maghrib tadi.

Esok Perdana Menteri dijadual melakukan solat sunat Aidilfitri pada pukul 8 pagi di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Selepas itu, beliau akan menghadiri majlis sambutan Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pukul 9.50 pagi.

BACA JUGA: Anwar: Eratkan hubungan, selamatkan negara