‘Semoga Allah dapat temukan saya dan keluarga pada raya ketiga nanti’

“Rindu hati ini inginku kembali… pada ayah bonda dan saudara… tetapi aku harus mencari rezeki… membela nasib kita bersama…”

Itu antara ungkapan lirik lagu raya nostalgia nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad yang tidak lekang ditelan zaman.

Lagu malar segar itu pastinya membuatkan hati kita ‘tersentuh’ apatah lagi merantau seorang diri dan perlu bekerja di Hari Raya Aidilfitri, di saat orang lain bergembira bersama keluarga tercinta.

Bagi Khairuddin Saaron, 60, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah taman perumahan di Subang, perasaannya berbaur pada Aidilfitri kali ini.

Beliau ketika ditemui Harapan Daily mengakui rasa berat hati apabila tidak dapat pulang meraikan 1 Syawal bersama insan-insan tersayang di kampungnya, di Larut, Taiping, Perak.

Dengan nada sayu, beliau yang mempunyai enam anak dan 20 cucu berkata mempunyai perancangan untuk berbincang bersama keluarga pada Hari Raya esok.

Khairuddin antara perantau yang perlu bekerja pada 1 Syawal ini.

Perbincangan itu seputar majlis pernikahan anaknya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Anak nak kahwin lepas raya nanti, sepatutnya ada perbincangan nanti (Hari Raya), tapi apakan daya, pakcik kena bertugas, merantau seorang diri ini memang sedih hati, lebih-lebih lagi apabila tiba Hari Raya.

“Memang hajat di hati, pakcik nak sangat beraya bersama keluarga tetapi pakcik kena jalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya yang tinggal bersendirian di Sungai Buloh.

Pagi Syawal esok membuatkan Khairuddin terkenang keluarga tersayang di Taiping.

Sesekali membuka cermin mata yang dipakai, dapat dilihat kesayuan daripada raut wajah dan genangan air mata beliau yang seolah-olah cuba ditahan daripada tumpah mengalir.

Di akhir perbualan, beliau yang baru sahaja dua bulan memikul tugas untuk menjaga keselamatan penduduk, berharap agar Allah dapat mempertemukan dirinya bersama keluarga tersayang meskipun tidak dapat pulang beraya pada 1 Syawal.

BACA JUGA ‘Balik raya kampung mana dulu, saya atau awak?’

Â