Tanpa lagu malar segar bagaikan beraya tanpa ketupat dan rendang

Kehangatan Aidilfitri tentunya dimeriahkan dengan dendangan lagu raya. Tidak lengkap rasanya tanpa berkumandangnya lagu-lagu raya.

Walau bagaimanapun, lagu raya ‘evergreen’ atau malar segar terus menjadi siulan dalam membangkitkan semangat dan nostalgia Hari Raya.

Lagu-lagu raya ini terus dimainkan di hari raya bersama-sama juadah lazat, duit raya dan tradisi rumah terbuka yang menjadikan sambutan Aidilfitri menjadi sesuatu yang menarik dan unik.

Antara beberapa lagu raya yang tetap masih menjadi pilihan sehingga ke hari ini adalah lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma, Dendang Perantau (Tan Sri P. Ramlee), Suasana Hari Raya (Datuk Sharifah Aini), Satu Hari Di Hari Raya (Datuk M Nasir) dan Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave) yang memang sukar dicari ganti.

Tan Sri P. Ramlee

Itu antara beberapa lagu raya yang terus menangkap halwa telinga untuk didengar, malah terdapat banyak lagi lagu raya yang masih kekal malar segar dan tidak jemu didengar walaupun telah dihasilkan berpuluh tahun dahulu.

Bagi rakyat Malaysia, kita akan mendengarnya saban tahun dan walaupun dipasang berulang-ulang, kita tidak akan pernah jemu kerana ia sentiasa membangkitkan nostalgia kemeriahan Hari Raya.

Sama ada berbentuk riang ria, sedih, kerinduan atau pilu, ia merakam suasana istimewa yang disambut setiap tahun di Malaysia.

Ia berbeza sekali dengan lagu baharu, kebanyakannya dilihat tidak mempunyai emosi untuk menarik pendengar menikmati suasana Aidilfitri.

Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya bagaimana lagu-lagu lama sebegini mampu bertahan dalam kancah hiburan tanah air yang mempunyai selera pendengar yang berbeza.

Antara lagu klasik raya yang paling lama bertahan dalam arena hiburan tanah air adalah ‘Dendang Perantau’ nyanyian seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Kekuatan dan keistimewaan lagu irama sentimental yang ditulis oleh S. Sudarmaji ini bukan sahaja iramanya yang mendayu-dayu tetapi liriknya puitis dan penuh dengan estetika seni meruntun jiwa.

Hal ini dapat diperhatikan daripada judul lagu ini yang mempunyai manifestasi konsep merantau bagi anak-anak desa mencari kerja di kota.

Apabila menjelang Hari Raya, kesayuan perantau yang tidak dapat pulang bertemu keluarga diluahkan melalui lagu tersebut.

Mengimbas lagu raya terawal yang pernah dirakamkan di rantau ini, lagu berjudul ‘Selamat Hari Raya’ yang telah diterbitkan lebih kurang 87 tahun lalu pada tahun 1936 dan telah dinyanyikan oleh Allahyarhamah Aminah Nani, seorang penyanyi bangsawan yang turut dikenali sebagai Miss Aminah.

Lagu Hari Raya lama memang memiliki unsur melodi tradisional dan lirik menyentuh jiwa yang membuatkan pendengar dapat mengimbau kenangan indah berhari raya.

Namun, terdapat juga lagu lebaran yang mempunyai unsur kesedihan seperti terkenangkan keluarga yang jauh selain ibu bapa atau orang tersayang yang sudah meninggal dunia.

Meskipun pada setiap era dan zaman, ada sahaja lagu raya yang dirakamkan oleh penyanyi yang muncul silih berganti, namun lagu-lagu klasik era 60-an hingga 90-an tetap menjadi siulan dan digemari ramai.

Sememangnya, tidak sah kalau tidak mendengar lagu Hari Raya tahun 1960-an seperti Dendang Perantau (P. Ramlee) dan Musafir Di Aidilfitri (S. Jibeng) atau lagu raya era 1970-an, Seloka Hari Raya (Hail Amir dan Uji Rashid) dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).

Bagaikan beraya tanpa ketupat dan rendang jika lagu-lagu ini dan lagu era 1980-an seperti Sepasang Kurung Biru (Khairil Johari Johar), Satu Hari Di Hari Raya (M. Nasir), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman Haji Arshad), Ku Pohon Restu Ayah Bonda (Al Jawaher) dan Senandung Hari Raya Untukmu (Dayangku Intan) tidak berkumandang.

Dekad seterusnya, 1990-an menyaksikan pula kemaraan Amy Mastura dengan (Setahun Sekali), Datuk Seri Siti Nurhaliza (Sesuci Lebaran), Datuk Aishah (Pulanglah), Datuk Jamal Abdillah (Salam Aidilfitri) dan Ziana Zain & Datuk Awie (Halaman Asmara).

Walau saban tahun ada lagu baru lebaran yang dihasilkan, hati akan tetap terpaut pada yang lama kerana sudah terbiasa membesar dengannya di samping formula khas yang ada pada lagu-lagu ini yang membuatkannya terasa penuh teruja.

Inilah antara lagu yang tidak lapuk sepanjang zaman. Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

Â