Fama: 22.6 juta biji telur ayam melalui 369 outlet pemasaran
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengedar 22.6 juta biji telur ayam melalui 369 outlet pemasarannya di seluruh negara mulai November lalu hingga semalam bagi menampung bekalan di pasaran.
Fama memaklumkan ia termasuk 349,500 biji telur yang diedarkan di 52 outletnya sebagai langkah intervensi bagi menampung permintaan tinggi di Kelantan.
“Berdasarkan pemantauan Fama, bekalan telur di pasar raya Kelantan dan Terengganu mencukupi dan dapat memenuhi permintaan pengguna dan tidak berlaku kekurangan bekalan telur ayam seperti didakwa,” menurut Fama dalam kenyataan malam tadi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, kebanyakan pasar raya di Pantai Timur masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi.
Beliau berkata, kementeriannya mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan serta Terengganu susulan laporan media berhubung isu gangguan bekalan di Pantai Timur menjelang Aidilfitri.
Fama turut mengadakan Jualan Agro Madani seperti Program Ramadan Madani, Program Syawal Madani dan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di Kelantan yang meliputi 30 lokasi sepanjang Ramadan melibatkan jualan komoditi termasuk telur, ayam dan ikan.
“Ia diadakan bagi kemudahan pengguna mendapatkan barangan keperluan sebagai persediaan menghadapi Hari Raya Aidilfitri.”
Fama turut mengambil langkah proaktif meningkatkan pemasaran agromakanan negara, khususnya komoditi telur ayam bagi keperluan pasaran domestik menerusi kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Fama akan terus menjalankan pemantauan bekalan telur, terutamanya di outlet peruncitan Fama, termasuk pasar raya terpilih di negeri Pantai Timur bagi memastikan bekalan telur sentiasa memenuhi permintaan pengguna.”
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan berlaku kekurangan bekalan telur kritikal di beberapa lokasi di Pantai Timur sehingga terpaksa dicatu.