Gembirakan keluarga, miskin dan bantu yang memerlukan

Umat Islam di Selangor diseru agar menggembirakan kaum keluarga, golongan miskin dan membantu masyarakat yang berdepan dengan musibah.

Jabatan Agama Islam Selangor di dalam khutbah Aidilfitri bertajuk Hari Kemenangan, Hari Perpaduan turut mengingatkan umat Islam agar tidak mengotorkan diri dengan amalan keji.

Amalan keji yang dimaksudkan itu ialah menyebarkan dakwaan-dakwaan palsu, propaganda buruk, menghebohkan berita-berita jahat, tuduh menuduh, menabur fitnah dengan menggunakan saluran media, hasad dengki,

Selain itu Jais turut menyenaraikan amalan berikut:dendam kesumat, perseteruan, bermusuhan sesama masyarakat, umpat-mengumpat, cela-mencela, caci-mencaci, mendedahkan keaiban orang lain, buruk sangka sesama Muslim, menganggap dirinya sahaja yang betul dan menganggap orang lain salah.

Ini kerana amalan berpuasa ketika Ramadan telah “berjaya menundukkan hawa nafsunya, melatih diri dengan menjauhi amalan yang keji dan mungkar dan dapat meningkatkan amal-amal soleh”.

Khutbah tersebut turut menarik perhatian umat Islam di Selangor kepada masalah perpecahan dan perselisihan dalam kalangan umat yang terus berlaku.

Untuk mengatasi masalah ini, umat Islam diajak kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

“Kembalilah kepada kebenaran dan berpegang teguhlah kepada ajaran Islam, bentuklah usrah, keluarga dan ukhuwah kerana Allah.

“Hidupkanlah semangat tolong menolong, Bantu membantu atas dasar takwa kepada
Allah.

“Bersatulah kita dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar.”

Umat Islam turut disarankan untuk meneruskan amalan baik yang dilaksanakan dalam bulan Ramadan.

“Sebagai orang Islam, janganlah kita hanya melazimi takwa pada bulan Ramadhan sahaja dengan meninggalkan maksiat dan dosa, tekun melakukan solat dan datang solat berjemaah serta saling membantu sesama ummah.

“Tetapi keadaan ini tidak berlaku sebaik sahaja berakhirnya bulan Ramadhan.”

BACA JUGA: Aidilfitri: Manfaatkan sepenuhnya silaturahim, persaudaraan – Amirudin

 

Â