Kit Siang: Selamat Hari Raya Aidilfitri, Hadi

Ketika menulis perutusan Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Malaysia, baik kepada yang beragama Islam mahupun bukan Islam, saya terbaca “serangan ganas” Presiden PAS, Hadi Awang terhadap DAP dan saya.

Saya tidak tahu kenapa Hadi memilih Hari Raya Adilfitri untuk melancarkan serangannya terhadap DAP dan saya.

Saya telah bersara daripada politik dengan melepaskan semua jawatan daripada barisan kepimpinan hadapan DAP selama lebih setahun dan saya tidak lagi boleh mewakili atau menjawab bagi pihak pimpinan DAP tetapi saya tidak boleh membiarkan serangan Hadi terhadap saya tanpa jawapan.

Hadi bukanlah seorang “profound fake” walaupun dengan mudah boleh mendedahkan ketergantungannya kepada pembohongan, kedustaan dan berita palsu dalam hujahnya, seperti yang dibuktikan oleh empat peristiwa berikut.

Tuduhan tanpa bukti

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia menuduh DAP mempromosikan Islamophobia. Kini sudah lima bulan sejak dia membuat dakwaan yang tidak masuk akal itu, dan walaupun di sebalik cabaran saya, dia gagal memberikan sebarang bukti pun untuk mengesahkan dakwaan liarnya.

Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat dakwaan tanpa bukti.

Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada Mei 2014, Hadi mengingatkan ahli PAS bahawa DAP telah membantu PAS ketika gabungan Barisan Nasional (BN) cuba menggulingkan parti itu daripada kerajaan negeri Kelantan semasa Darurat 1977.

Katanya, walaupun terdapat begitu banyak perkara yang berbeza antara DAP dan PAS, seperti halal (perkara dibolehkan) dan haram, seperti arak, daging babi, dan isu hukum hudud, kedua-dua parti, antara lain, bersetuju sesama mereka dalam hal membasmi kemiskinan, kezaliman, dan rasuah.

Adakah DAP mempromosikan Islamofobia dengan datang membantu PAS pada 1977?

Katanya, walaupun terdapat begitu banyak perkara yang berbeza antara DAP dan PAS, seperti halal (perkara dibolehkan) dan haram, seperti arak, daging babi, dan isu hukum hudud, kedua-dua parti, antara lain, bersetuju sesama mereka dalam hal membasmi kemiskinan, kezaliman, dan rasuah.

Dalang Icerd yang sebenar

Hadi sepatutnya sedar sekarang bahawa DAP bukanlah dalang atau memainkan peranan dengan episod 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd).

Adakah Hadi akan memohon maaf atas serangan “membabi butanya” terhadap dakwaan DAP sebagai “dalang” dalam percubaan meratifikasi perjanjian itu?

Sejak 2018, Hadi tidak dapat memetik satu kes pun daripada 55 daripada 57 negara Islam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang agama Islam terjejas atau satu kes pun daripada 36 daripada 38 negara yang mempunyai sistem monarki yang raja-raja di negara berkenaan terkesan akibat ratifikasi Icerd.

Selepas empat kesilapan besar itu, apakah kredibiliti yang ditinggalkan Hadi untuk bercakap benar dan jujur, berdasarkan fakta dan kebenaran dan bukan berdasarkan pembohongan, kedustaan dan berita palsu?

China komunis tidak apa?

Hadi terus mengulangi dakwaan bahawa saya seorang komunis, tanpa mampu mengemukakan sebarang bukti.

Jika saya seorang komunis, mengapa KDN tidak menangkap saya semasa Perikatan Nasional berkuasa semasa pemerintahan dua Perdana Menteri “pintu belakang” selama 32 bulan bermula dari 2020 hingga 2022?

Saya tidak pernah menjadi komunis, tetapi Hadi tetap menegaskan bahawa saya adalah seorang komunis. Bilakah dia mendapati perkara itu?

Tetapi seorang komunis bukanlah syaitan yang menjelma, kerana Hadi harus sedar bahawa perjanjian Arab Saudi-Iran telah diurus oleh seorang komunis – Xi Jinping, Presiden Komunis China.

Adakah Hadi dan PAS menentang Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan Komunis China?

Saya sentiasa percaya bahawa Malaysia boleh memainkan peranan global dan salah satu daripada peranan ini adalah untuk menjadi negara contoh kepada dunia yang bersefahaman, bertoleransi dan keharmonian antara etnik, agama, antara budaya dan antara peradaban!

Adakah Hadi setuju?

Hadi tidak mempunyai bantahan sekiranya Malaysia akhirnya menjadi negara yang berpecah, gagal dan kleptokrat.

Namun, tidak bagi saya. Saya melihat Malaysia mampu menjadi salah satu model negara yang berjaya untuk diteladani oleh negara-negara lain.

Sempena hari mulia buat salah satu agama terpenting di dunia, di sebalik semua tanggapan yang khilaf dan palsu terhadap saya dan DAP, saya tidak ada kata-kata cercaan untuk Hadi, tetapi sekadar menghulurkan tangan sambil mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Hadi dan PAS. Maaf Zahir dan batin!”

Ayuh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, mari kita bersama menyambut Hari Raya Aidilfitri dan menunjukkan bahawa kita boleh menjadi contoh kepada dunia yang kita saling mempunyai persefahaman, bertoleransi dan ada keharmonian antara kaum, agama, budaya serta peradaban.

————————————————————————————————————————————————————————

LIM KIT SIANG ialah veteran DAP yang telah bersara dari politik.