Perikatan Nasional takkan membentuk kerajaan Negeri Sembilan

Perikatan Nasional takkan membentuk kerajaan Negeri Sembilan pasca pilihan raya negeri tahun ini.

“Ini kerana pakatan pembangkang tersebut tidak mempunyai sokongan masyarakat bukan Melayu ekoran dari retorik agama dari Pas.

“Gerakan pula tidak kuat di negeri adat Perpatih ini,” kata pemerhati politik, Murray Hunter di dalam satu artikel yang ditulisnya.

Murray ialah mantan profesor di Universiti Malaysia Perlis dan juga seorang wartawan.

Tambahan pula gabungan PH-BN mempunyai tokoh popular dalam kalangan rakyat iaitu Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Loke Adun Chennah manakala Mohamad, Rantau.

Oleh itu rancangan presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk meletakkan calon Menteri Besar di negeri ini tidak akan kesampaian.

Persoalannya bagaimana BN akan mendapatkan undi Melayu dan pada masa sama bekerjasama dengan DAP.

Ini kerana pemimpin Umno dan DAP dari negeri lain sering bertelingkah antara satu sama lain.

Beliau turut meramalkan bahawa PN mungkin berjaya di 11 kerusi luar bandar majoriti Melayu.

Antara kerusi berkenaan ialah Sungai Lui, Seri Menanti dan Senaling.

Kerusi – kerusi ini mempunyai pengundi Melayu sebanyak 80% dan ke atas.

Lebih kurang 720,000 rakyat NS layak mengundi di dalam pilihan raya akan datang.

Dari sudut komposisi penduduk, NS mempunyai 56.6% penduduk Melayu, 23.1% Cina dan 14% India.

Gabungan PH-BN menguasai kesemua 36 kerusi dewan undangan negeri kini. Dari jumlah tersebut, PH menguasai 20 kerusi manakala BN mempunyai 16.

Dari sejumlah 20 kerusi, DAP mempunyai 11 kerusi, PKR, 7 dan Amanah 2.

Dari sejumlah 16 kerusi, Umno mempunyai 15 dan baki satu kerusi dipegang oleh MIC.

NS ialah salah satu dari enam buah negeri yang akan menyaksikan pilihan raya negeri tahun ini.

Negeri-negeri lain yang turut terlibat ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pilihan raya untuk kesemua negeri ini dijangka berlangsung selepas bulan Jun.