Agong perkenan kehadiran keluarga jemaah menteri

Selepas tular sindiran seorang isteri bekas menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), Istana Negara memaklumkan kehadiran bersama keluarga diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Majlis Sambutan dan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Istana Negara semalam amat istimewa kerana KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah turut berkenan mempersilakan tetamu kenamaan, termasuk anggota jemaah Menteri, untuk hadir bersama keluarga,” dipetik menerusi hantaran Facebook Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong bergambar bersama ahli keluarga tetamu kenamaan dalam majlis ramah mesra Aidilfitri di Istana Negara kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran ahli-ahli keluarga tetamu kenamaan telah memeriahkan lagi majlis tersebut.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni dan beramah mesra bersama para tetamu kenamaan dan keluarga mereka,” kata pentadbir Faceboook rasmi Istana Negara itu semalam.

Kelmarin, isteri bekas Menteri Luar Negeri era kerajaan PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mempersoal kehadiran Nik Nazmi Nik Ahmad kerana membawa anak-anaknya ke majlis ramah mesra Aidilfitri di Istana Negara.

Norlin Shamsul Bahri memyindir Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu dengan mengaitkan isu protokol.

“Wah, majlis rasmi bawa anak beranak ke istana negara… tak tahu protokol ke pak menteri?” katanya mengulas foto yang dimuatnaik oleh Nik Nazmi di akaun Instagram.

Untuk rekod, Saifuddin memegang jawatan Menteri Luar Negeri sebanyak dua kali iaitu semasa kerajaan Pakatan Harapan antara 2018 hingga 2020 dan PN pada Ogos 2021 hingga November 2022.