Guan Eng: Masakan Mat Sabu tiada bandingan

Sambutan Aidilfitri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu tidak pernah lengkap tanpa kehadiran sahabat karibnya, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.

Persahabatan yang bermula ketika mereka ditahan di Kamunting di bawah Ops Lalang memperkenalkan Lim kepada Mohamad dan kebolehannya dalam bidang masakan.

Ketika itu Mohamad berada dalam Pas manakala Lim di dalam DAP. Kini Mohamad, presiden AMANAH.

Keakraban mereka juga boleh dilihat dalam konteks hubungan DAP dan Amanah yang rapat sehinggakan pihak lawan menggunakan perkara tersebut sebagai bahan politik.

AMANAH sering juga mempertahankan DAP dari serangan musuh politik seperti Pas

Berbalik kepada sambutan Aidilfitri semalam, nampak gayanya sentuhan tangan masakan Mohamad tidak lekang.

“Beliau sendiri masak daging bersama isterinya. Masakan Menteri memang tiada tandingan. Memang terbaik!

“Inilah Mat yang kita kenali setia kepada sahabat dan perjuangan selama-lamanya,” kata Lim yang juga adalah pengerusi kebangsaan DAP.

Antara makanan yang disajikan oleh Mohamad termasuk sate, ketupat dan lemang.

Lim dan keluarganya bergambar bersama Mohamad dan isterinya

Tahun ini Lim mengunjungi Mohamad di rumah beliau bersama isterinya Betty Chew Gek Cheng.

Turut menemani beliau ialah ibu bapanya – Lim Kit Siang dan Neo Yoke Tee. Kit Siang ialah veteran DAP yang turut sama menjadi tahanan ketika Ops Lalang dalam tahun 1988.

Seorang lagi ahli keluarga Lim yang turut hadir dalam majlis Aidilfitri Mohamad ialah adik Guan Eng iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Hui Ying juga ialah Ahli Parlimen Tanjong.