Majlis Aidilfitri jadi platform beramah mesra bersama rakyat

Jamuan Aidilfitri bagi Parlimen Shah Alam yang dijadual pada 29 Mei ini bakal menjadi platform untuk beramah mesra bersama rakyat.

Ahli Parlimennya Azli Yusof berkata majlis itu diadakan bagi mengisi kemenangan setelah menyempurnakan Ramadan melibatkan penduduk di DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga.

“Program Aidilfitri dibuat untuk mengeratkan hubungan sesama warga Shah Alam dan juga peluang untuk kami menyantuni masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Jelas Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu, sepanjang bulan Ramadan lalu, pihaknya telah mengambil kesempatan untuk melakukan pelbagai progeam ramah mesra dengan menyantuni warga bandar raya itu.

“Sepanjang bulan puasa, saya mengambil peluang menyantuni rakyat terutamanya di kawasan masjid dan surau.

“Antara perkara yang biasa saya lakukan ialah melakukan solat Maghrib, Isyak dan Subuh di setiap masjid berlainan sekitar Shah Alam.

“Selain itu, program iftar, pemberian Bakul Rahmah di bazar terpilih juga dibuat bagi mengisi kemeriahan Ramadan,” kata Azli.

Tambahnya, hasil aktiviti itu, ramai yang berpuas hati dengan khidmatnya sepanjang bulan Ramadan itu.

“Rata-rata penduduk yang saya jumpa amat bergembira dengan pengisian program yang saya jalankan sepanjang bulan puasa.

“Insya-Allah dengan peluang yang diberikan ini saya akan meneruskan lagi program-program seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Pada PRU15, Azli meraih undi majoriti sebanyak 61,409 sekali gus mengenepikan pencabar terdekatnya yang merupakan ‘orang kuat’ Azmin Ali, Afif Bahardin yang memperoleh 43,314 undi dan calon BN Isham Jalil dengan hanya 28,266 undi.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan dilantik menjadi Ahli Lembaga Penasihat DBKL dan Ahli Majlis MBSA.