Pemikiran ‘Islam terancam’ perlu diperbetulkan semula
Benarkah Islam di negara ini sedang terancam? Inilah naratif yang masih dimainkan oleh pembangkang apabila Pakatan Harapan (PH) kembali ke tampuk kuasa.
Sentimen ini terus dimainkan bagi mendapatkan sokongan majoriti masyarakat Melayu Islam. Dengan mewujudkan rasa keterancaman tersebut, pembangkang cuba mendorong masyarakat Islam menjauhkan diri daripada kerajaan.
Bagi Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Dr Muhammad Razak Idris, naratif ‘Islam terancam’ merupakan satu doktrin yang cuba ditimbulkan oleh sesetengah pihak bagi tujuan dan kepentingan sokongan dan pengaruh.
Katanya, perkara tersebut telah memberikan kesan tidak baik kepada hubungan keagamaan dan perpaduan dalam masyarakat.
“Kita kena deconstruct pemikiran ini kerana jika ia tidak ditangani akan memberikan kesan kepada hala tuju dan keadaan negara kita.
“Istilah Islam terancam satu bentuk yang saya rasa tidak disandar kepada satu fakta yang kukuh, ia hanya berasaskan kepada speculative immagination, inspirasi psikologi yang cuba dicipta bagi tujuan tertentu,” katanya kepada Harapan Daily baru-baru ini.
Muhamad Razak yang juga bekas Presiden ABIM berkata kerangka idea Islam terancam sebenarnya terkait dengan wacana politik di peringkat dunia dalam tempoh empat hingga lima tahun lalu apabila apabila berlakunya gerakan anti kepada kaum atau masyarakat Asia di Eropah.
Jelasnya wacana itu juga terkait dengan kumpulan far right dan white supremacy yang mana elemen itu wujud ketika kebangkitan Presiden Trump.
“Saya dalam analisis sebagai ahli akademik pada masa itu, model yang sama digunakan yang dilihat boleh menjadi titik temu bagi membentuk satu kesatuan, kelompok berasaskan sentimen keagamaan,” jelasnya yang juga bekas pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM.
Justeru itu, beliau berkata proses merasionalisasikan semula perlu dilakukan dalam mendidik masyarakat untuk melihat keseluruhan senario keagamaan di negara ini bukan dalam bentuk hitam dan putih serta mengguna pakai model permusuhan orang Islam dan bukan Islam.
“Walaupun kita akan memperoleh modal dari keterancaman psikologi itu, dapat sokongan tapi kita harus lihat kesan jangka masa panjang dari segi hubungan kaum dan ia akan ganggu ketenteraman masyarakat,” katanya.
Jelas Muhamad Razak, pengurusan hal ehwal Islam di bawah teraju Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melihat pemikiran ‘Islam terancam’ perlu diperbetulkan semula.
“Oleh kerana itu, kita mendokong prinsip fikah hidup damai antara masyarakat, menganjurkan dialog antara tamadun dan melihat bahawa agama dan umat Islam terjamin, keabsahan dan ketahanan di negara ini menerusi pelbagai institusi yang menaungi masyarakat Islam.
“Institusi Raja masih kekal, keselamatan malah pentadbiran agama Islam makin bertambah kuat, ini adalah insitusi pada hakikatnya,” katanya.
Muhamad Razak berkata jika dilihat secara rasional, isu ‘Islam terancam’ adalah satu momokan bersifat jangka masa pendek.
Untuk itu, jelasnya dalam era kepimpinan baharu yang membawa gagasan Malaysia Madani, Islam akan kembali gemilang dan memimpin masyarakat Malaysia secara sejahtera, aman dan berpandukan nilai universal.
Katanya perkara itu berasaskan keharmonian atau fikah hidup damai bersama seperti termaktub dalam prinsip Perlembagaan yang sudah disepakati oleh semua pihak.
BACA JUGA: Pentadbiran hal ehwal Islam tangani saki baki peninggalan kerajaan terdahulu
Â