Pesakit kronik perlu berhati-hati ambil makanan ketika Aidilfitri

Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai juadah makanan, orang ramai turut dinasihatkan agar memberi perhatian kepada  soal kesihatan agar tidak menjejaskan kegembiraan lebaran.

Exco Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud mengingatkan orang ramai supaya dalam keghairahan menikmati juadah raya, kuantiti pengambilan makanan perlu dijaga.

Katanya, aspek kesihatan diri perlu dijadikan fokus ketika menikmati juadah raya walaupun ramai yang bergembira untuk menyambut Syawal selama sebulan.

“Hari raya bagi individu dengan penyakit komorbid harus berjaga-jaga kerana selalunya selepas hari raya kita akan ada masalah seperti paras gula dalam darah tinggi dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal akibat makan secara berlebihan.

“Saya menasihatkan orang ramai untuk memilih makanan yang lebih sihat walaupun diketahui juadah hari raya yang pelbagai seperti ketupat palas, nasi impit, lemang dan redang perlu dikurangkan kuantitinya,” katanya kepada Harapan Daily baru-baru ini.

Menurut Siti Mariah setiap sajian yang diambil haruslah memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang turut menasihatkan kepada pesakit kencing manis untuk makan mengikut waktu selain mematuhi jadual pengambilan ubat serta sentiasa memantau tahap kepekatan gula (glukosa) dalam darah.

Tambahnya, beliau tidak menghalang pesakit mahupun golongan yang sihat untuk menikmati juadah tetapi perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan selamat hari raya kepada semua khasnya rakyat negeri Selangor dan seluruh rakyat Malaysia.

“Ingat kembali tujuan kunjung-mengunjung di hari lebaran daripada hanya fokus kepada makanan semata-mata.

“Kekalkan tradisi zaman berzaman untuk mengeratkan silaturrahim dan saling maaf-bermaafan serta sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat ketika meraikan hari raya,” ujarnya.

BACA JUGA: Selangor beri ruang peranan wanita berkembang maju