‘Rasa lost, Aidilfitri kali ini memang ada perbezaan’

“Saya rasa macam ‘lost’… memang berbeza.”

Itu reaksi Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid ketika dihubungi Harapan Daily baru-baru ini.

Beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kapar menyifatkan, Ramadan dan Aidilfitri kali ini sememangnya berbeza apabila beliau tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Parlimen tersebut.

“Perbezaan raya pada kali ini, bila malam takbir raya itu, kita dah pergi ke kawasan-kawasan kampung yang terpilih untuk takbir di situ.

“Untuk solat Subuh, kita akan cari satu masjid biasanya masjid yang ada di Sungai Pinang dan Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang.

“Kalau hari raya jatuh pada Jumaat, kita akan solat di Kapar kerana Kapar dekat dengan saya sejak daripada dulu lagi.

“Seperkara lagi, biasanya ketika menjadi ahli Parlimen, kita tunggu di rumah menyambut tetamu yang hadir untuk beraya.

“Tetapi yang pasti raya kali ini, kita dah tak buat macam dulu (masa jadi wakil rakyat) seperti solat raya di satu kawasan, solat Subuh di kawasan lain, takbir di kawasan lain. Sekarang ini semuanya setempat sahaja iaitu di Setia Alam,” katanya.

Mengimbau kenangan di bulan puasa baru-baru ini, Abdullah Sani yang juga Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Ramadan kali ini terdapat banyak perbezaan, berbanding ketika beliau memegang jawatan sebagai wakil rakyat sebelum ini.

Beliau berkata, aktiviti pertama yang akan digerakkan apabila memasuki bulan Ramadan adalah menyalurkan bantuan secara menyeluruh kepada golongan asnaf dan rumah anak-anak yatim.

Kemudian katanya, mereka akan pergi ke masjid, surau dan kampung-kampung untuk memberi bantuan moreh dan berbuka puasa.

“Semua itu telah menjadi satu rutin dalam hidup saya, tetapi bila dah tak buat, dia jadi macam lost, umpama dah tak ada sentuhan.

“Sekarang ini saya pergi masjid di Setia Alam sajalah. Pergi solat tarawih, kemudian balik rumah.

“Kalau dulu (masa jadi ahli parlimen), kita ada perjumpaan dengan penduduk kawasan, bincang-bincang masalah mereka dan cuba bantu menyelesaikannya,” ujarnya lagi.

Bagi mengubati ‘kerinduan’ sewaktu menjadi ‘pendengar setia’ kepada masalah dan permintaan penduduk di sekitar Parlimen Kapar sebelum ini, Abdullah Sani berkata, beliau telah pergi ke Terengganu pada penghujung Ramadan untuk melaksanakan satu program.

“Baru-baru ini, sebelum habis Ramadan, saya pergi ke Terengganu sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita buat program berbuka puasa bersama 700 asnaf di sana.

“Terubat sikit bila pergi ke sana tempoh hari sebab saya memang dah terbiasa dengan jadual wakil rakyat yang padat dan bertemu masyarakat. Kalau dulu, buat kuih kemudian hantar ke pasar malam.

“Buat nasi beriani, hantar untuk majlis berbuka puasa di masjid-masjid dan surau termasuk juga di pasar-pasar malam. Bila dah tak buat semua aktiviti-aktiviti itu, saya jadi lost,” luahnya sebelum mengakhiri perbualan.

Sempena Syawal ini, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, ampun maaf dipinta andai terdapat kesalahan dan kesilapan sepanjang mengenalinya.

“Saya mohon ampun dan maaf sekiranya ada kesalahan dan kesilapan sepanjang mengenali saya.. terguris hati ketika kita berbicara atau semasa melakukan tugas seharian.. saya mohon ampun dan maaf, selamat menyambut Aidilfitri.

“Kita juga telah melepasi Ramadan iaitu bulan ujian yang penuh barakah.. semoga kita akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat seterusnya menjadi hamba Allah yang diredhai dan diberkati.. moga segala amalan kita diterima oleh-Nya,” katanya lagi.