Sabak Bernam bakal lenyap gelaran daerah warga emas

Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang sedang dilaksanakan bakal menjana peluang pekerjaan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman menjelaskan inisiatif yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) itu juga bakal melenyapkan gelaran Sabak Bernam sebagai daerah warga emas.

“Ramai orang kata Sabak Bernam ini adalah kawasan daerah bagi warga emas memandangkan sebelum ini tiada pelaburan masuk sehingga memaksa orang muda untuk keluar daerah bagi mencari rezeki.

“Belia yang berumur 25 tahun ke bawah boleh dikira dengan jari di kawasan ini. Sekolah-sekolah juga mengalami masalah kekurangan murid,” katanya kepada Harapan Daily ketika diwawancara di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sabak, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Mustain, pihaknya bersedia membantu kerajaan negeri merealisasikan SABDA bagi memastikan projek dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion itu memberi pulangan terbaik.

Jelasnya, projek tersebut membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi atas kawasan berkeluasan 1,317 hektar dan dijangka memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.

Tambahnya, antara projek utama SABDA di dalam kawasan DUN Sabak adalah pembinaan Rehat dan Rawat (R&R) dan pusat perniagaan air manis.

“Saya harap projek SABDA akan menjadi kenyataan di DUN Sabak sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri.

“SABDA turut bakal menjadi daya tarikan baharu kepada penduduk setempat dan luar sekaligus melonjak daerah tersebut sebagai tumpuan pelancong,” katanya.

Pada 27 Julai 2022, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan SABDA antara yang menjadi tumpuan negeri dalam tempoh lima tahun menerusi agenda terkandung dalam RS-1 membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.