Tiga perkara merimaskan balik beraya di Kelantan
Meskipun bulan Syawal ini disambut dengan keriangan tetapi tidak bagi rakyat di Kelantan yang terpaksa berhadapan tiga masalah besar setiap kali musim perayaan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri Datuk Prof Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, masalah tekanan air yang rendah serta tidak berkualiti menjadi perkara merimaskan bekas pensyarah sains politik itu.
Selain itu, Kelantan juga, katanya, berhadapan dengan masalah jalan yang tidak diselengara dengan baik.
Malah, anak jati negeri itu turut mendapati persekitaran negeri Serambi Mekah tersebut kotor kerana sampah berlonggok di merata tempat.
“Aduh, negeriku, masalah ini berulang setiap raya. Semoga boleh berubah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Malah, Agus dilihat secara sinis memberitahu ingin merasai perbezaan apabila berada di sebuah negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Sekejap lagi bertolak ke Pulau Pinang, nikmati kelainan. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir batin,” tulisnya lagi.
Sementara itu, Timbalan J-KOM Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali Syam Ghaz berpendapat dakwaan Pas didiskriminasi oleh kerajaan pusat tidak wajar dijadikan isu takkala mereka pernah diberi peluang untuk memegang tampuk kerajaan.
“Apabila mereka (kerajaan Pas) berkuasa dan jadi Kerajaan Pusat, masalah RUU355, sampah sarap, air, jalan raya, royalti tidak diselesaikan pun.
“Kemudahan rakyat bukan keutamaan kerajaan Negeri Kelantan, kemudahan Exco lebih penting, beli Mercedes RM3.5 juta, bonus Exco RM50,000 seorang serta naik gaji YB.
“Kesian rakyat Kelantan yang bermastautin di sini (Kelantan), duduk seperti di negara kelas dunia ke tiga,” tulis beliau di ruangan komen hantaran Agus itu.
BACA JUGA ‘Orang Kelantan yang tinggal di Kelantan tak semua nak kemajuan’