Baju Raya Rahmah kualiti premium masih mahal?

Marah betul penyokong-penyokong pro Perikatan Nasional apabila segala inisiatif kerajaan ‘dirahmahkan’. Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Baju Raya Rahmah, Tol Rahmah, Simen Rahmah. Segalanya dipertikaikan.

“Try hard sangat nak merahmahkan semua benda!,” antara komen yang ditinggalkan di Facebook Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Paling mereka tidak puas hati adalah Baju Raya Rahmah. Untuk pengetahuan, kerajaan memperkenalkan jualan rahmah membabitkan baju raya Jakel yang berkualiti premium pada bulan Mac tahun ini. Premium ya.

Tetapi ada yang mentertawakan menteri tersebut kerana Baju Raya Rahmah dianggap masih lagi “mahal”. Mungkin mereka menginginkan harga rahmah RM50 untuk baju berkualiti premium? Mungkin.

Menteri menjelaskan, nilai asal Baju Melayu premium yang ditawarkan bernilai RM359. Selepas potongan harga oleh pihak JAKEL, ia menjadi RM259. Ditambah lagi dengan Jualan Rahmah, baju premium ini hanyalah berharga RM149 sahaja. Ini penjimatan berganda.

Peniaga mahu untung rahmah

Jadi harga RM149 berbanding nilai asal RM359 adalah munasabah. Ia tidak munasabah kalau baju keluaran gedung tekstil terkemuka itu menurunkan harga sehingga RM50.

Bukan anda saja mahu untung, mereka pun perlu untung sedikit. Lebih-lebih lagi gedung terbesar mereka di Shah Alam terbakar dalam bulan Disember dan Januari. Walaupun ada yang buat spekulasi pemilik Jakel itu mahu tuntut ganti rugi melalui insurans, itu hal kedua.

Asbab sambutan terlalu menggalakkan dari jualan rahmah ini, semakin banyak pula jenama dan gedung tekstil turut menyertai jualan rahmah.

Contohnya, Mydin, F.O.S, jenama tempatan seperti Liyana Collection (LYC) dengan harga serendah RM35, Nabella Butik (RM39), Duchess Exclusive dan Qamraa masing-masing (RM59).

Bukan itu sahaja, jualan raya rahmah juga terus berkembang apabila ada butik anak tempatan menjual kasut raya rahmah serendah RM20 sepasang.

Saya percaya, kebanyakan keluarga pasti berminat membeli kelengkapan raya di kedai-kedai yang menjual harga rahmah, namun disebabkan kekangan waktu, sesetengah mereka terpaksa beralih kepada pilihan kedua iaitu pembelian atas talian.

Rakyat boleh berbelanja di mana sahaja namun mereka wajar menyokong usaha baik dari kerajaan. Ia usaha yang bermanfaat untuk rakyat.

Abaikan sahaja kecaman pembangkang kerana mereka mengkritik demi kritikan sahaja. Kritikan perlulah membina bukan mencerca.