Empat sebab orang tidak pulang ke kampung sambut Aidilfitri
Kebanyakan dari masyarakat Malaysia terutamanya umat Islam sedang meraikan Aidilfitri, baik di kampung mahupun bandar.
Walaupun rata-rata orang tidak sabar untuk pulang, namun ada juga segelintir golongan lebih selesa untuk beraya di rumah
Lazimnya, alasan kerja sering digunakan untuk memberi sebab seseorang itu tidak dapat hadir bertandang.
Namun, ada juga beberapa sebab lain mengapa segelintir masyarakat lebih gemar untuk tidak beraya di kampung pada musim perayaaan.
1. Kesesakan lalu lintas
Kesesakan lalu lintas di lebuhraya utama sudah menjadi kebiasaan setiap kali musim perayaan tiba.
Mana tidaknya, tempoh masa untuk pulang ke kampung yang hanya beberapa jam sahaja, tiba-tiba boleh bertukar lebih 12 jam menjadi alasan mengapa sesetengah orang lebih rela menyambut raya di bandar.
2. Isu Kewangan
Perbelanjaan ketika musim perayaan biasanya akan meningkat berlipat kali ganda seperti membeli pakaian baharu, kuih raya, aksesori rumah dan sebagainya.
Ditambah pula, sesi persekolahan pada Mac lalu sedikit sebanyak membebankan tanggungan perbelanjaan ibu bapa menjelang Aidilfitri ini.
Hal ini belum termasuk bagi kos penerbangan individu dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman yang menelan ratusan ringgit.
3. Fobia dengan ‘mulut makcik bawang’
Setiap kali musim perayaan masyarakat Melayu pastinya akan pulang ke kampung halaman.
Namun, ada juga golongan yang memilih untuk tidak mengikuti tradisi turun temurun itu atas alasan fobia dengan mulut dan karenah saudara-mara.
Aktiviti ‘membawang’ dan sering bertanya soalan pedas seperti “bila nak kahwin?” dan “kerja apa?” sedikit sebanyak menjadi faktor generasi muda lebih rela menetap di rumah.
4. Saudara-mara tiada di kampung.
Kebiasaannya, golongan ini sudah kehilangan kedua ibu bapa dan tidak mempunyai saudara mara di kampung halaman.
Atas sebab itu, mereka memilih untuk tidak pulang ke kampung kerana bimbang hanya mengundang perasaan sayu, takkala mengimbau kenangan bersama kedua orang tua.