Jelajah #Kita Selangor Aidilfitri di sembilan daerah bermula Jumaat

Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, kerajaan Selangor meneruskan tradisi Rumah Terbuka di sembilan daerah di seluruh negeri itu.

Tradisi tersebut dimulakan oleh pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari sejak tahun lalu.

Dikenali sebagai Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri, program itu bermula pada Jumaat ini (28 April) di Sepang dan berakhir di Gombak pada 14 Mei depan (Ahad).

Menteri Besar berkata seluruh rakyat dijemput menghadiri dan memeriahkan sambutan Aidilfitri kali ini.

“Insya-Allah Kerajaan Negeri akan meneruskan tradisi yang telah dimulakan tahun lepas iaitu Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di kesemua sembilan daerah seluruh Selangor,” katanya.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata tahun lalu majlis rumah terbuka negeri mencatatkan kehadiran mencecah 150,000 hingga 200,000 bagi keseluruhan sembilan program yang berlangsung.

“Program seperti ini selain mengoptimumkan kos penganjuran, ia ternyata lebih efektif dan mendasar di mana seluruh rakyat negeri Selangor dapat merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri di daerah masing-masimg tanpa perlu perjalanan yang jauh ke lokasi utama sahaja,” ujarnya.

Selain Rumah Terbuka jelas Amirudin, pengunjung juga akan dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut tersedia untuk dimohon dan dimanfaatkan khalayak.

Katanya progran itu mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaku pelaksana utama dan sokongan Pejabat-pejabat Daerah selain Agensi/Jabatan Kerajaan Daerah.

“Program ini turut membantu para peniaga dan usahawan makanan di setiap daerah untuk sama-sama menyemarak dan memeriahkan sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri di daerah masing-masing.

“Jumpa anda di daerah masing-masing!” kata beliau.

Berikut jadual Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor;

Sepang
28 April (Jumaat): Tapak Pasar Pagi Pekan Salak

Hulu Selangor
29 April (Sabtu): Padang Awam Hulu Selangor

Klang
30 April (Ahad): Padang Taman Sri Kerayong

Hulu Langat
5 Mei (Jumaat): Tapak Agora High Market Taman Sri Nanding

Petaling
6 Mei (Sabtu): Tapak Pasar Malam Paya Jaras

Kuala Langat
7 Mei (Ahad): Taman Perwira Sijangkang

Sabak Bernam
12 Mei (Jumaat): Dataran Tanah Lesen Parit Baru

Kuala Selangor
13 Mei (Sabtu): Padang Awam Bukit Badong

Gombak
14 Mei (Ahad): Kawasan Komersial Fasa 3 Taman Seri Gombak

BACA  JUGA: KDNK Selangor terus kukuh, meningkat menjelang 2025