LGBT: Insiden perlakuan songsang tidak mewakili pendirian kerajaan

Insiden seperti rancangan sebuah kelab hiburan menampilkan persembahan lelaki berpakaian wanita di ibu kota baru-baru ini tidak boleh dijadikan sebagai bukti Islam terancam di negara ini.

Begitu juga tindakan sekumpulan individu yang dikatakan mempromosikan LGBT ketika perarakan Hari Wanita pada Mac lalu yang sebenarnya langsung tidak mewakili tuntutan majoriti masyarakat negara ini.

Bagi golongan yang terperangkap dalam minda “Islam terancam”, mereka akan cepat mengaitkan insiden-insiden dan kes-kes seperti itu untuk menyatakan agama Islam berada dalam keadaan bahaya apabila Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Ironinya, pembangkang terutama Pas tidak pula menganggap Islam terancam ketika mereka berada dalam kerajaan apabila berlaku kes seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudungnya di sebuah kelab komedi yang telah didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 17 April lalu.

Negara masih ingat wanita itu, Siti Nuramira Abdullah, 27, didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama lain dengan menyebut bahawa dia seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya membuka tudung dan menanggalkan baju kurung.

Kesalahan dilakukan sewaktu persembahan di atas pentas, di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini, pada jam 6 petang, 4 Jun 2022.

Ketika itu Pas berada dalam kerajaan dan salah seorang pemimpinnya dilantik sebagai Menteri Agama. Ketika itu tiada pula tuduhan Islam dalam keadaan terancam.

Namun apabila ada segelintir kelompok menyelit dan membawa bendera LGBT ketika perarakan Hari Wanita Sedunia dengan pantas Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) menyifatkan ia adalah perarakan LGBT.

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menerima kecaman daripada penyokong-penyokong kerajaan hingga membuat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendesak beliau menarik balik kenyataan itu jika tidak pasti.

Beliau akhirnya mengakui tidak pasti adakah itu perarakan LGBT dan kemudian menarik balik dakwaannya.

Untuk berlaku adil, Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata kes-kes spesifik seumpama itu tidak mewakili sikap dan pendirian kerajaan.

“Ia bukanlah satu dorongan daripada kerajaan atau dasar yang mengalakkan, itu memang tidak ada. Sebaliknya, ia adalah tindakan oleh kelompok individu yang mempunyai corak berfikir sedemikian yang cuba mencari ruang dalam sistem demokrasi.

“Jadi sikap negara sudah jelas terhadap perlakuan corak songsang, ia sudah dianggap satu yang bertentangan dengan nilai yang perlu ditegah daripada berleluasa,” jelas Dr Muhamad Razak Idris kepada Harapan Daily ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Presiden ABIM menegaskan dasar negara telah jelas dinyatakan oleh pemimpin tertinggi malah kenyataan dari segi fatwa sudah ada di mana perlakuan itu adalah kes yang perlu ditangani.

“Kita tidak boleh mengawal semua kehendak dan minat serta kecenderungan masyarakat…yang membezakan ialah kita menangani golongan pelbagai itu dengan cara berhikmah, berdialog dan mengajak perundingan selagi mana kecenderungan tidak membawa kepada perlanggaran dasar keselamatan dan juga tidak membawa kepada pelanggaran undang-undang syariah yang sudah dikuatkuasakan,” ujarnya.

Dalam hal ini, Muhamad Razak berkata kerajaan tidak boleh dianggap sebagai lemah apabila mengajak perundingan dan dialog.

Sebaliknya, ia adalah salah satu kaedah yang dianjurkan oleh agama bagi mengatasi masalah dalam kepelbagaian latar belakang masyarakat di negara ini.

Malah jelas beliau penguatkuasaan hanya salah satu kaedah yang boleh digunakan berbanding usaha dialog yang lebih luas.

Tegasnya perlakuan seperti golongan LGBT tidak mewakili kementerian agama namun secara umum kerajaan galakkan perundingan dan pentarbiyahan kepada kelompok yang tertentangan agama supaya masing-masing memahami, menghormati dasar serta fakta yang sudah menjadi persepakatan dalam aspek pengurusan hal ehwal keagamaan.

“Kita hendak mengajak masyarakat supaya bersikap rasional, sebab itu dengan psikologi Islam terancam, ia akan mudah untuk mengaitkan sesuatu perkara yang pada hakikatnya tidak bersifat demikian…masyarakat menjadi tidak rasional dalam menilai sesuatu.

“Kalau masyarakat diberi sikap rasional mereka boleh membandingkan kes terpencil atau menjadi dasar kerajaan, jadi kita perlu rasionalkan semula pemikiran agama bersandarkan kepada asas-asas ilmiah dan tidak dipengaruhi oleh sentimen emosi prasangka, yang dibentuk dalam kerangka berfikir yang salah,” ujarnya yang juga bekas pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Bagi Muhamad Razak, negara mempunyai tugas berat untuk mengembalikan rakyat kepada tradisi ilmu dan budaya berdialog serta mencari penghujahan yang tepat dan kukuh. – Harapan Daily

  • Artikel ini merupakan Bahagian Kedua temu bual Harapan Daily bersama Setiausaha Politik Menteri Agama, Dr Muhamad Razak Idris.

Bahagian Pertama: Pemikiran ‘Islam terancam’ perlu diperbetulkan semula

BACA JUGA: Pentadbiran hal ehwal Islam tangani saki baki peninggalan kerajaan terdahulu