Mengapa MCA?
Pada 24 April, presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menafikan komplot tebuk atap yang banyak diperkatakan dalam sebulan dua ini.
Ini ekoran daripada laporan laman berita The Vibes yang melaporkan bahawa sebanyak 15 ahli parlimen BN bakal mengosongkan kerusi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan tersebut turut menamakan Ka Siong dan rakan partinya Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) antara 15 MP yang akan memaksa pilihan raya kecil diadakan.
Ini ekoran dari usaha membentuk kerajaan pra- kerajaan perpaduan.
Berikut adalah kata-kata Ka Siong ekoran dari laporan media tersebut:
“Mengarut dan tidak berasas. MCA tidak tahu dan tidak terlibat. Sesiapa sahaja boleh menulis mengikut citarasa masing-masing berpandukan khabar angin.
“Namun, bagi saya sendiri sebagai presiden MCA dan parti saya, kami tidak tahu tentang percubaan menggulingkan kerajaan seperti mana yang dilaporkan.
“Kami juga tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana ahli parlimen yang dipilih untuk ‘mengorbankan’ kerusi mereka untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Perdana Menteri merangkap ketua whip GPS, Datuk Fadillah Yusof hari ini dilaporkan sebagai berkata bahawa Gabungan Parti Sarawak tidak dijemput berunding dengan Perikatan Nasional dalam usaha di atas.
Apakah kenyataan tersebut dibuat secara sinis atau serius, umum tidak mengetahuinya.
Duri dalam daging?
Persoalan yang lebih besar ialah, mengapa MCA bertindak seperti duri dalam daging terhadap kerajaan perpaduan?
Di Dewan Rakyat umpamanya Ka Siong membangkitkan isu-isu yang meletakkan kerajaan perpaduan di dalam keadaan serba salah.
Benar, ahli parlimen kerajaan juga memainkan peranan semak dan imbang tetapi berbanding dengan pembangkang, saluran untuk blok penyokong kerajaan jauh lebih banyak.
Selain daripada jawatankuasa khas parlimen, Ka Siong dan Jeck Seng boleh sahaja mengadakan pertemuan empat mata dengan menteri-menteri berkenaan.
Samada isu telur atau harga tiket kapal terbang, Ka Siong sangat lantang membangkitkan suaranya.
Di persada media sosial pula, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker merangkap naib presiden MCA tidak putus-putus menyerang DAP menerusi ciapan di Twitter dan hantaran Facebook.
Untuk rekod, MCA sekarang diwakili oleh dua ahli parlimen, tiga senator dan tujuh ahli dewan undangan negeri iaitu di Perak, Melaka dan Johor.
Musuh abadi
Mengapa MCA, mengapa?
Adakah ini kerana MCA tidak dapat meletakkan calon dalam pilihan raya negeri melibatkan enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu?
Jika dibandingkan dengan komponen parti BN iaitu MIC, sekurang-kurangnya MIC akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Jeram Padang di Negeri Sembilan.
Walau bagaimana pun, kedua-dua parti ini tiada peluang bertanding di Pulau Pinang.
Adakah ia kerana MCA gagal meningkatkan sokongan pengundi asasnya dari masyarakat Cina sedangkan DAP bukan sahaja mengekalkan undi masyarakat Cina malah meningkatkan bilangan wakil rakyat Melayunya?
Adakah MCA berharap strateginya memusuhi DAP akan dapat membantunya mendapatkan kembali sokongan masyarakat Cina?
Sebagai seorang pemerhati politik, mungkin MCA perlu diingatkan bahawa tiada musuh atau rakan abadi di dalam politik.
Mungkin sahaja MCA mengamalkan hukum kedua yang disarankan oleh Robert Greene di dalam bukunya, 48 Laws of Power.
Hukum tersebut menyatakan seperti berikut: Jangan mengharapkan rakan anda sepenuhnya, belajarlah menggunakan musuh anda.