Nik Nazmi: Eratkan perpaduan sempena hari lebaran

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi sebuah video merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat di negara ini.

Video berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan Nik Nazmi membuat ucapan tersebut di bangunan kementeriannya di Presint 4, Putrajaya.

Berlatarbelakangkan suasana meriah sambutan hari raya, Nik Nazmi yang berbaju Melayu berwarna hijau mewakili kementeriannya memberi ucapan hari raya.

“Kami warga Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta semua agensi-agensi di bawahnya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam di Malaysia.

“Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya berharap kita dapat eratkan semangat perpaduan sesama kita,”ucapnya.

Menurutnya, Aidilfitri harus diraikan dengan penuh kesyukuran dan menjadi perayaan untuk memperkukuh ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau turut mengajak umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia memanfaatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan memulih dan memperbaiki hubungan yang merupakan faktor kekuatan bagi sesebuah negara.

Pada masa yang sama, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa turut memberikan beberapa nasihat berguna bersempena hari raya untuk diambil pengajaran oleh orang ramai.

“Kepada mereka yang beraya di kampung, saya berharap kita pastikan rumah kita dalam keadaan selamat, makan berpada-pada dan berjimat cermat.

“Di hari kemenangan ini juga, pastikan kita jaga keselamatan diri dan keluarga dan kepada yang memandu pulang ke kampung pastikan anda berhati-hati di jalan raya dan selamat sampai ke destinasi,” ujarnya.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan satu hari cuti tambahan sempenan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Masyarakat Muslim di Malaysia merayakan sambutan ketibaan Syawal pada 22 April.