Tanah runtuh: Bangunan MACA dikosongkan, 45 dipindah

Aademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah mengosongkan seluruh kawasan bangunannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur ekoran kejadian tanah runtuh tengah hari tadi.

Pengosongan itu melibatkan pemindahan seramai 45 individu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata MACA mengesahkan 45 individu termasuk 22 pengawal, 16 pekerja pembersihan dan tujuh orang penghuni kuarters pegawai telah selamat dipindahkan daripada bangunan itu.

“Pengosongan tersebut adalah atas nasihat pihak bomba sehingga kawasan terlibat diisytiharkan selamat.

“Ketika ini, pihak MACA turut bersedia dengan arahan lanjut pihak berkuasa serta akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, jelas SPRM, pihak MACA memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh tersebut.

Terdahulu laporan menyebut satu kejadian tanah runtuh berlaku di cerun bukit melibatkan kawasan seluas 1,115 meter persegi berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Duta hari ini.

Menurut Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur Yogeswaran Elangovan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.54 petang melibatkan sebuah pondok keselamatan di bangunan tersebut turut runtuh.

“Sebaik tiba, kita mendapati tanah runtuh berlaku di hadapan pintu masuk Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia dan meruntuhkan sebuah pondok pengawal keselamatan.

“Justeru itu, kita mengarahkan 76 mangsa keluar dari bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Yogeswaran berkata mangsa yang diselamatkan adalah 38 individu membabitkan 17 lelaki dan 21 wanita dari bangunan Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia manakala masing-masing 19 lelaki dan wanita dari bangunan Integriti.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Beliau memaklumkan siasatan mendapati pergerakan tanah masih lagi berlaku, dipercayai berpunca daripada paip pecah di bawah tanah.

Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya dan Air Selangor (Syabas) turut berada di lokasi untuk tindakan lanjut.