15 MP BN sahaja tidak cukup untuk jatuhkan Kerajaan Perpaduan
Umno yakin, 15 ahli parlimen parti itu tidak akan melepaskan jawatan begitu sahaja untuk mengejar laba tanpa ada kepastian Kerajaan Perpaduan akan runtuh dengan tindakan mereka.
“15 orang MP BN sahaja tak cukup, mereka perlukan sokongan pihak lain,” kata Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.
“Mereka perlu runding dengan pihak lain untuk bantu lengkapkan minima 112 kerusi,” kata beliau mengulas usaha untuk menjatuhkan kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, sehingga kini beberapa pertemuan telah diadakan oleh pihak yang merancang untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa, master mind perancangan ini adalah Tun Daim Zainudin dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bimbang dengan siasatan ke atas Pandora Paper yang melibatkan mereka.
“Perjumpaan di Janda Baik, didakwa ada dua MP PKR.
“24 Ramadhan ada perjumpaan dengan geng Sarawak. Dah mula serang ketua menteri (Premier) Sarawak dalam pertemuan tu,” katanya selain pertemuan tiga operator politik dari Perikatan Nasional (PN) dengan Daim di Menara Ilham.
Ketiga-tiga mereka adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seti Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Mereka dikatakan bertemu secara berasingan dengan Daim.
Dalam pada itu, Lokman yakin, jika Tan Sri Mahiaddin yang mahu diangkat menjadi perdana menteri sekali lagi, ramai MP Umno akan menolaknya kerana mereka sudah mempunyai pengalaman pahit dengan beliau.
Begitu juga kalau pemimpin dari Pas, karana ramai MP Umno juga mempunyai masalah dengan mereka dan tidak boleh diterima.
“Yang saya bimbang, berdasarkan berita yang diterima salah seorang tokoh dari Sarawak akan dicalonkan (sebagai PM).
“Mereka tidak ada masalah dengan Pas atau Umno atau Bersatu,” katanya.
Lokman meminta rakan-rakan beliau tidak terpedaya dengan puak terdesak ini.
Beliau juga yakin kerajaan dan pemimpinnya memantau aksi mereka ini.
“Kalau rakaman perbualan Najib boleh terbongkar, tidak mustahil rakaman perbulaan mereka ini juga boleh terbongkar,” katanya.
BACA JUGA Daim adakan pertemuan sulit dengan Hamzah, Takiyuddin dan Azmin?
Â