Agama diletak bawah MKI dan Raja-Raja, tidak timbul dakwaan Islam terancam
Naratif tentang ‘Islam terancam’ yang cuba dicanang oleh pembangkang apabila pentadbiran negara diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya timbul.
Ini memandangkan semua perkara membabitkan Islam diletakkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Majlis itu pada masa ini dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah manakala Perdana Menteri sebagai timbalan.
Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Dr Muhamad Razak Idris berkata keputusan meletakkan urusan agama di bawah seliaan Sultan dan pengawasan langsung Majlis Raja-Raja menerusi MKI adalah langkah yang harus dipuji.
Ini kerana katanya ia menggambarkan kerjasama rapat antara Raja Raja dan kerajaan selain tugas penyelarasan akan lebih mudah serta kepentingan agama akan terus terjaga.
Jelasnya perkara itu menunjukkan kesepaduan antara raja-raja yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama dan kerajaan sebagai pelaksana dasar-dasar sekali gus akan memperkukuhkan lagi kedudukan agama dan pembangunan umat.
Di peringkat Pusat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memainkan peranan sebagai urusetia kebangsaan kerana penggubal dasar tertinggi di bawah MKI.
“Dasar-dasar agama diputuskan di situ dan JAKIM jadi urusetia penyelarasan dan saya kita perhatikan setakat ini penyelarasannya tidak mempunyai banyak halangan.
“Negeri-negeri sentiasa mematuhi dan menghormati segala inisiatif yang sesuai dikemukakan oleh JAKIM tidak ada pertembungan. JAKIM juga tidak mencampuri hal-hal yang menjadi bidang kuasa khas negeri dan yang penting ialah usaha penyelarasan itu sudah terjadi,” ujarnya.
Hal ini terbukti apabila baru-baru ini berlangsung penyelarasan dari segi pendidikan Islam dan negeri terlibat dalam usaha di peringkat negeri kerana sebahagian besar sekolah agama rakyat berdaftar di bawah negeri, katanya.
“Dasar tahfiz sedang disambut dan imam-imam kebanyakannya JAKIM beri sumbangan khas selain elaun tambahan oleh setiap negeri.
“Hal yang sama juga akan berlaku dalam hal kehakiman dan perundangan dan sudah tentu pengurusan haji dan lain-lain.
“Malah dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam, penglibatan negeri dan JAKIM sentiasa aktif dalam mengenal pasti para asnaf miskin yang telah diperakui oleh negeri, maka program itu diselaraskan,” ujarnya.
Muhammad Razak berkata beliau melihat gerakan dan usaha dari segi pengislahan pentadbiran, pengurusan hal ehwal agama sedang berusaha keras sekarang untuk pertingkatkan urus tadbir supaya lebih mudah, mesra dan berkesan.
“Misal kata dalam isu pengurusan asnaf, saya tengok nak angkat golongan asnaf supaya lebih berdaya maju puluhan program pemerkasaan asnaf sedang dijalankan pelbagai agensi dengan menggunakan dana awam dan sumbangan dana wakaf dan zakat.
“Jadi dalam erti kata lain tidak ada pengurangan malah tindakan yang bertambah meningkat termasuk program usahawan,” jelas beliau.
Tambahnya gerakan memperkasa ummat terus berjalan antaranya agensi seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) melaksanakan program baik pulih rumah dan program A’fiah oleh Tabung Haji dalam bantu masyarakat Islam menerusi sumbangan alat perubatan.
Keduanya, dari segi pendidikan guru-guru agama diberi perhatian dengan kadar peningkatan elaun dari RM1,000 kepada RM1,100 dan guru takmir, imam turut dapat imbuhan dan sokongan langsung kerajaan.
“Kalau kata terancam maka ini benda ini yang terancam dulu, (sedangkan) pembimbing atau guru al-Quran yang sedang mendidik anak-anak kita terus diperkasakan, tidak ada terpinggir,” jelasnya.
Selain itu, kata Muhamad Razak baru-baru ini ada syor untuk memberikan kemudahan kepada kesihatan yang akan diumumkan kepada guru agama berjumlah 35,000 orang di seluruh negara.
Tambahnya JAKIM turut mempunyai kader-kader di kementerian-kementerian untuk membantu dalam soal bimbingan agama, program Halal sedang dapat perhatian dan terkini menaik taraf surau daif serta dilancarkan dasar tahfiz negara.
Jelasnya pelan tindakan dirangka untuk memastikan sekolah tahfiz yang tumbuh dan sedang mendapat minat masyarakat bergerak seiring dengan pendidikan arus perdana.
“Ini projek yang kita boleh lihat ke arah mengembalikan keyakinan dan pastikan kegemilangan umat di era ini dan Insya-Allah dari segi perundangan dan kehakiman juga usaha sedang giat dilaksanakan untuk kita angkat beberapa akta ke arah pemerkasaan mahkamah dan kedudukan perundangan Islam di negara ini,” kata beliau lagi.
Jelas Muhamad Razak, di bawah teraju Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pentadbiran hal ehwal Islam ingin beri keyakinan bahawa kerajaan ini terus kukuh dan keadaan umat Islam akan lebih terjamin dan gemilang semula.
Dalam pada itu, jelas beliau, peruntukan RM1.5 bilion yang disediakan melalui Belanjawan 2023 turut menjadi bukti bahawa kerajaan perpaduan memberikan perhatian terhadap perkembangan Islam di negara ini.
Jelasnya peruntukan itu menunjukkan terdapat peningkatan termasuk melibatkan pembayaran gaji imam, guru agama dan baik pulih surau serta maahad tahfiz.
“Kita harap jadi bukti baharu bahawa Islam tidak terancam, malah negara kita sedang menuju kepada pengukuhan dan keunggulan,” katanya. – Harapan Daily
- Artikel ini merupakan Bahagian Ketiga wawancara Harapan Daily bersama Setiausaha Politik Menteri Agama, Dr Muhamad Razak Idris
Bahagian Pertama: Pemikiran ‘Islam terancam’ perlu diperbetulkan semula
Bahagian Kedua: LGBT: Insiden perlakuan songsang tidak mewakili pendirian kerajaan
BACA JUGA: Pentadbiran hal ehwal Islam tangani saki baki peninggalan kerajaan terdahulu