Al-kisah peruntukan kawasan parlimen Perikatan Nasional

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa beliau belum menerima sebarang permohonan rasmi berkaitan peruntukan kewangan untuk ahli parlimen Perikatan Nasional.

“Saya dah bagi tahu kepada mereka (PN) untuk buat tawaran (permohonan) secara hitam putih, selagi kita (kerajaan) belum terima surat rasmi bermakna tidak akan berlaku sebarang rundingan.

“Kalau kita ingat, sewaktu kerajaan Keluarga Malaysia ada Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani dan ada rundingan. Jadi yang ini belum berlaku… macam orang meminang, macam mana nak bincang kalau orang tak menawarkan.”

Perkara ini penting kerana ia dibangkitkan oleh PN semasa sesi Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Menjawab persoalan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuruh blok pembangkang untuk memilih tiga orang dalam kalangan mereka untuk berunding dengan mereka.

PN telah melantik setiausaha agung PN Hamzah Zainudin, naib presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin dan setiausaha agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan Fadillah.

Namun hingga kini nampak gayanya mereka gagal berunding demi kesejahteraan rakyat.

Masalah air

Lebih-lebih lagi buat rakyat di negeri yang ditadbir oleh Pas iaitu Kelantan dan Kedah ialah kegagalan pimpinan Pas negeri menyelesaikan masalah bekalan air.

Masalah air coklat menerusi paip air sebelum di Kelantan sebelum ini memang diketahui umum. Malahan ia turut dijadikan bahan di media sosial seperti TikTok untuk mengkritik kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Seri Ahmad Yaakob.

Kini Kelantan dan Kedah, pimpinan Datuk Seri Sanusi Md Nor, berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan air pula.

Di dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Yaakob meminta rakyatnya berdoa agar cuaca panas dan ketiadaan bekalan air ini boleh diatasi.

Di Kedah pula, Sanusi menyalahkan Pakatan Harapan kerana kononnya melambatkan peruntukan sedangkan mantan menteri Dr A Xavier menjelaskan peruntukan telahpun disediakan tetapi timbul kelewatan di peringkat negeri.

Ini pelik bin ajaib kerana ini parti yang menjanjikan tempat di syurga sekiranya para pengundi memangkah Pas di dalam pilihan raya.

Pelik kerana mereka boleh menjanjikan syurga selepas seseorang mati tetapi tidak boleh mengatasi masalah ketika seseorang masih hidup.

Apakah ini ajaran Islam? Tidakkah Islam menganjurkan pengikutnya berusaha dahulu sebelum berdoa?

Di manakah usaha Pas?

Sekira kita ambil pula negeri yang ditadbir oleh DAP untuk melihat tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah cuaca panas.

Dalam tahun 2019 dan 2020 Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang menjalankan proses pembenihan awan dalam usaha memastikan bekalan air cukup di kawasan empangan air sebelum krisis air berlaku.

Itu usaha DAP yang menjadi sebahagian dari Pakatan Harapan.