Jangan bergantung zakat semata-mata, agensi lain perlu terlibat bantu asnaf

Usaha bagi membantu membawa golongan asnaf keluar daripada garis kemiskinan tidak hanya bergantung kepada bantuan daripada institusi zakat.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata institusi zakat menjadi institusi yang penting untuk mengubah kehidupan asnaf namun ia memerlukan penglibatan lebih banyak agensi lain.

“Tidak boleh berhenti pada institusi zakat sahaja tetapi keseluruhan jentera itu sebenarnya termasuk jentera dan agensi kerajaan dan sebagainya.

“Ini kerana sekarang memerlukan kita menghadapi keadaan yang sistemik dan kita tidak boleh menyesuaikan keadaan ini dengan menjurus kepada satu agensi atau institusi sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika tampil sebagai ahli panel dalam Wacana Sinar bertajuk ‘Sara Hidup: Rakyat Masih Tersepit?’ di Sinar Harian semalam.

Wacana itu turut melibatkan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Dr Rosni Adam dan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Izham Nayan manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Zahir yang juga Ketua Setiausaha Pengelola PKR berkata pemberian wang tunai adalah langkah jangka pendek untuk membantu rakyat mendapatkan sumber kewangan namun inisiatif dan program mampan mampu menjadikan mereka berdikari.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan Selangor telah memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dapat menawarkan kepada golongan miskin tegar dan B40 seperti pertanian berkelompok, penjualan makanan serta sebagainya untuk bangkit semula selain tidak bergantung pada bantuan daripada kerajaan.

“Ini penting kerana sebagaimana kebergantungan rakyat kepada kerajaan tersebut begitu kuat sekali, maka apa kerajaan cakap, dia akan ikut namun saya berpandangan rakyat Malaysia sekarang sudah pandai dan keadaan tak seperti itu lagi.

“Kita mahu rakyat lepas daripada tahap kemiskinan supaya mereka merasa bebas bukan sahaja dari segi ekonomi malah menentukan masa depan politik negara,” jelasnya.