Lima kuih raya paling ‘lagenda’, imbau memori Aidilfitri

Pejam celik, pejam celik sudah hari keempat umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan biasanya setiap kali raya tidak lengkap kalau tiada kuih raya terhidang di atas meja untuk santapan tetamu yang datang.

Setiap tahun, boleh dikatakan banyak kuih raya baharu yang menjadi bualan masyarakat sehinggakan sampai satu tahap ada yang viral di media sosial.

Ia sekali gus ‘mengundang’ orang ramai untuk hadir membeli secara fizikal, mahu pun secara dalam talian.

Meskipun banyak kuih raya ‘hipster’ di pasaran pada ketika ini, namun pada pengamatan saya, orang ramai tetap memilih kuih raya tradisional sebagai pelengkap di Hari Raya mereka.

Sebagai contoh, abang saya yang berusia 39 tahun tetap membeli kuih tradisi antaranya samperit, tat nenas, suji dan almond london yang dijual oleh rakan pejabatnya.

Maka daripada situ kita dapat merumuskan bahawa kuih ‘lama’ ini masih menjadi pilihan masyarakat pada hari ini.

Rasanya juga sedap dan apabila dimakan, ia umpama menyingkap kembali kenangan zaman raya dulu-dulu dengan kuih-kuih tersebut diletakkan di dalam bekas lutsinar di atas meja yang dilapik dengan alas meja baharu dibeli.

Bagi mengimbau kenangan di Aidilfitri, berikut adalah antara lima kuih raya berstatus legenda wajib ada di atas meja ketika musim Hari Raya di negara kita.

Tat Nenas

Sebut sahaja tat nenas, mesti ramai yang terliur dan boleh dikatakan ia adalah antara kuih yang pertama sekali orang akan ambil bila datang beraya ke rumah saudara-mara atau rakan-rakan.

Kuih Bangkit

Kuih bangkit ini kalau tengok daripada luaran memang nampak rangup, tetapi bila dah kemam dalam mulut, dia macam mencair. Memang sedap!

Biskut Samperit

Biskut samperit ini juga antara yang dipanggil kuih legenda! Melihat kepada bentuknya yang seakan-akan kelopak bunga dahlia yang mekar, proses membuatnya juga memerlukan tahap penelitian yang tinggi agar bentuknya menjadi cantik dan terletak.

Biskut Sarang Semut

Sejak kecil sampailah sekarang, rupanya tetap sama. Biskut ini juga mudah dibuat, cuma kena rajin parut dohnya sahaja. Bila makan, cair di mulut!

Almond London

Almond London merupakan salah satu biskut yang perlu dimasukkan dalam senarai untuk dihidangkan di atas meja. Ini kerana, bukan sahaja golongan kanak-kanak menyukai biskut yang dibuat dari badam dandisaluti coklat itu, malahan orang dewasa juga.

 

Â