Mahiaddin nafi fitnah Guang Eng, dakwa nampak surat batal cukai Yayasan Albukhary

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin nafi memfitnah bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman Guang Eng, Mahiaddin mahu Pengerusi DAP itu mengemukakan bukti di mahkamah bahawa Kementerian Kewangan tidak membatalkan status pengecualian cukai ke atas yayasan dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Dakwa Mahiaddin, beliau pernah ternampak sepucuk surat daripada Kementerian Kewangan Malaysia kepada Syed Mokhtar sekitar tahun 2021 tentang keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tidak mengiktiraf pengecualian cukai dan keputusan untuk mengenakan penalti.

Beliau juga dilapor ternampak surat itu ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Oleh itu, defendan (Mahiaddin) dibenarkan membuat inferen (tanggapan) dan kesimpulan bahawa pengecualian cukai telah dibatalkan, jikalau tidak ia adalah tidak perlu untuk rayuan dibuat ataupun untuk kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2021,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ahli Parlimen Pagoh itu seterusnya menjelaskan dalam pernyataan pembelaannya, Yayasan Albukhary diberi kelulusan di bawah Seksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk pengecualian cukai oleh kerajaan terdahulu yang diketuai oleh Barisan Nasional.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan, yang memegang jawatan tersebut dari 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, yang mana LHDN adalah di bawah bidang kuasa beliau.

“Apabila saya menjadi Perdana Menteri pada ketika itu, saya menerima surat daripada Syed Mokhtar kepada Pejabat Perdana Menteri Malaysia yang merayu terhadap keputusan LHDN tidak mengiktiraf pengecualian cukai dan keputusan untuk mengenakan penalti.

“Saya yang bukan Menteri Kewangan dan menteri yang bertanggungjawab terhadap LHDN merujuk perkara ini kepada Menteri Kewangan untuk pertimbangan beliau. Menteri Kewangan pada masa itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz membenarkan rayuan berkenaan,” katanya.

Sementara itu dalam pernyataan tuntutan samannya pada 27 Mac lalu, Guan Eng berkata, Mahiaddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu dan dibebaskan dengan jaminan agensi penguatkuasaan itu pada sebelah petang.

Menurut Guan Eng, Mahiaddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac lalu menerusi akaun Facebook dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan sengaja dibuat kerana Mahiaddin mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar tertumpu kepadanya, oleh itu ia bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam.

Guan Eng berkata, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Menurut plaintif, ia juga bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Albukhary dan dirinya serta sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.