Masalah bekalan air Kedah: ‘Jangan hanya kokok sahaja berdegar-degar’

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dituntut supaya tidak sekadar pandai ceramah sahaja sebaliknya segera menyelesaikan masalah gangguan air di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, sikap saling menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah bekalan asas itu terutama di Kuala Kedah.

“Jangan biarkan rakyat menderita kerana pemerintah negeri yang sibuk berpolitik, bercakaran dan menghentam kenyataan antara Negeri dan Persekutuan?

“Lalu apa kelebihan yang MB Kedah dapat? Boleh menyelesaikan masalah air di Kedah?” bidasnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, hampir satu juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah dilapor mengalami krisis bekalan air yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Mengulas lanjut, Asmirul Anuar berkata, kebanyakan lori SADA gagal beroperasi menepati jadual ataupun terlewat daripada garis panduan yang ditetapkan.

“Jangan hanya kokok sahaja berdegar-degar sedangkan masalah bekalan air di negeri sendiri pun tidak mampu diselesaikan.

“Mohon sekali lagi MB Kedah yang juga Pengerusi SADA agar dapat menjadi juara keseluruhan kepada penyelesaian terhadap permasalahan air di Kedah, bukan sekadar pandai ceramah sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, bekas Exco Belia dan Sukan berkenaan bertanyakan perkembangan terbaharu operasi Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu.

“Apakah yang telah terjadi pada Loji Pelubang, Sungai Limau dan Bukit Selambau? Sehinggakan menurut laporan akhbar terkini satu juta rakyat Kedah menanggung bahana akibat krisis bekalan air,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, SADA dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai pelaksanaan pelan kontingensi selama lima hari bermula 20 hingga 24 April lalu.

Langkah itu sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan gangguan bekalan air di seluruh daerah di negeri itu sempena cuti Aidilfitri.

Syarikat air tersebut turut mengakui jangkaan peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus di negeri itu disebabkan antara lain anak perantau kembali ke kampung halaman.

BACA JUGA Kedah tidak pandang serius masalah air ketika Aidilfitri