Melakukan perkara luar biasa untuk Reformasi
Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan rumah terbuka rasmi Hari Raya Aidilfitri di luar Wilayah Persekutuan adalah suatu perkara luar biasa yang bertepatan dengan semangat Reformasi dan Malaysia Madani.
Ia adalah suatu perkara luar biasa kerana setiap tahun rumah terbuka rasmi Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur atau Putrajaya. Perkara ini dapat difahami kerana Kuala Lumpur adalah ibu kota dan Putrajaya ialah pusat pentadbiran negara.
Pada tahun 1980-an, rumah terbuka rasmi Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri diadakan di Seri Perdana lama berhampiran Tasik Perdana.
Pada hari pertama hari raya, pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri dibuka pada orang ramai Mereka berpeluang bertemu Perdana Menteri dan isterinya di samping menjamu makanan yang disediakan di khemah-khemah.
Rakyat beratur panjang untuk bersalaman dengan Perdana Menteri dan menjamu selera. Setiap tahun, wartawan dan jurugambar bertugas dari pelbagai media datang membuat liputan dengan keesokannya berita disiarkan dalam akhbar-akhbar.
Oleh kerana ia berlangsung di Kuala Lunpur, maka kebanyakan orang ramai yang datang adalah para penduduk ibu kota. Majoriti penduduk Kuala Lumpur ketika itu, dan dari dulu lagi ialah orang bukan Melayu.
Sementara kebanyakan orang Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur adalah penghijrah dari luar ibu kota. Maka pengunjungnya adalah kelihatannya dari kalangan penduduk Kuala Lumpur dan kawasan Selangor yang berhampiran seperti Petaling Jaya.
Maka tidak hairanlah pengunjungnya dilihat orang bukan Melayu dan dari kalangan golongan berada dan sederhana. Ada jugalah dari golongan bawahan. Kadang kala ada juga pelancong.
Ia sudah menjadi acara tahunan, dan merupakan tarikan bagi kegiatan cuti umum. Ini kerana pada cuti umum Hari Raya, ibu kota seperti juga seluruh semenanjung hampir lumpuh kerana orang Melayu kebanyakannya bercuti.
Orang Melayu Kuala Lumpur umumnya keluar kota dan balik kampung.
Sementara orang Melayu yang kampungnya sememangnya Kuala Lumpur, kebiasaannya akan sibuk dengan urusan kekeluargaan pada hari pertama Hari Raya. Mereka pada umumnya tidak mempunyai masa untuk pergi ke acara awam seperti rumah terbuka Perdana Menteri.
Apabila diwawancara, ada pengunjung dari kalangan bukan Melayu berkata, beliau pergi ke rumah terbuka rasmi Perdana Menteri itu hampir setiap tahun, selain daripada dapat menjamu selera secara percuma, ia merupakan aktiviti untuk mengisi cuti umum.
Bagi golongan atasan dan sederhana, ini adalah peluang untuk berjumpa Perdana Menteri secara langsung. Tetapi bagi golongan bawahan yang kebanyakannya tidak berkenderaan sendiri serta bergantung pada kenderaan awam, adalah sukar untuk mereka pergi ke situ.
Selalunya juga Perdana Menteri kemudiannya turut mengadakan rumah terbuka di kawasan parlimen mereka. Bagi Perdana Menteri Keempat, ia adalah di Kubang Pasu, Kedah. Acara seumpama itu juga dilakukan oleh kebanyakan ahli parlimen, tidak kira sama ada mereka berjawatan atau tidak.
Saya tidak pernah ditugaskan sebagai pemberita untuk membuat liputan acara rumah terbuka itu walaupun terdapat tahun-tahun yang saya perlu bekerja pada Hari Raya pertama. Namun begitu, saya pernah ke kediaman rasmi Perdana Menteri itu pada tahun 1980-an untuk menghadiri majlis berbuka puasa.
Apabila pusat pentadbiran negara berpindah ke Putrajaya pada tahun 1990-an, maka begitu juga kediaman rasmi Perdana Menteri.
Bangunan baharu itu lebih tersergam dan ia tetap dinamakan Seri Perdana. Kediaman rasmi lama Perdana Menteri dijadikan galeri memorial untuk menempatkan barang-barang rasmi Perdana Menteri Keempat seperti hadiah yang diberikan oleh negara-negara asing. Ia dinamakan Galeria Seri Perdana.
Satu lagi bangunan yang diperuntukkan untuk barang-barang rasmi Perdana Menteri keempat terletak di Langkawi. Oleh kerana mentadbir Malaysia begitu lama, iaitu selama 22 tahun, maka tentulah terdapat banyak barang-barang rasminya ditinggalkan, dan ia perlu dijadikan bahan pameran.
Saya tidak pernah pergi ke kedua-dua galeri itu tetapi saya pernah mengunjungi Memorial Tunku Abdul Rahman dan Memorial Tun Razak yang kedua-duanya adalah asalnya kediaman rasmi mereka. Tunku menjadikan Residensi sebagai kediaman rasmi Perdana Menteri. Sebelum merdeka, ia adalah kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya sebelum mereka pindah ke bangunan Carcosa.
Saya pernah pergi ke Memorial Tunku pada tahun 1990-an ketika mana ia mempamerkan rancangan dan pelan untuk membina Putrajaya. Suatu model bandar itu dihamparkan untuk tontonan orang ramai dan pelawaan kepada rakyat supaya memberi maklum balas. Saya amat kagum dengan pelan itu.
Perdana Menteri kedua tidak tinggal di Residensi itu. Beliau menjadikan sebuah rumah yang lebih berdekatan dengan laluan orang ramai sebagai kediaman rasmi Perdana Menteri. Ia dinamakan Seri Taman kerana kedudukannya yang hampir dengan Taman Tasik atau ketika itu dikenali sebagai Lake Gardens.
Perdana
Perdana Menteri ketiga turut tinggal di Seri Taman. Namun Perdana Menteri keempat menduduki rumah yang lebih jauh dan lebih besar, yang kemudian dikenali sebagai Seri Perdana.
Seri Taman dijadikan Memorial Tun Razak. Pada masa itulah Lake Gardens ditukar namanya kepada Taman Tasik Perdana.
Lake Sydney diubah namanya kepada Tasik Perdana, kesemuanya berkaitan dengan perkataan Perdana Menteri. Sydney itu merujuk pada Lady Sidney, isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya.
Apabila pusat pentadbiran negara dipindahkan ke Putrajaya. Maka begitu juga dengan Seri Perdana. Kelihatannya ia merupakan suatu projek mewah dan gah. Begitu juga dengan Seri Perdana yang kelihatannya mewah. Sudah tentu bangunan Seri Perdana dan Putrajaya dijadikan bahan kritikan pihak pembangkang ketika itu.
Saya hanya berkesempatan pergi ke Seri Perdana baharu pada zaman Perdana Menteri kelima. Pada masa Perdana Menteri keenam, satu kerja ubah suai dalaman besar-besaran dilakukan ke atas Seri Perdana.
Namun tradisi rumah terbuka di pekarangan Seri Perdana pada Hari Raya pertama diteruskan semasa Perdana Menteri keempat, kelima dan keenam.
Tidak seperti Seri Perdana lama di Kuala Lumpur, Seri Perdana baharu di Putrajaya adalah lebih jauh dan lebih sukar bagi penduduk Kuala Lumpur untuk mengunjunginya Ia memerlukan penggunaan kendaraan persendirian dengan ketiadaan pengangkutan awam. Putrajaya pada masa awalnya tidak mempunyai banyak penduduk tetap.
Yang ada pun adalah penjawat awam yang terdiri daripada orang Melayu. Dengan pastinya mereka akan pulang ke kampung dan sibuk menyambut hari raya pertama di tempat masing-masing. Begitu juga kawasan Melayu terdekat di Putrajaya iaitu Bandar Baru Bangi.
Maka apabila Perdana Menteri kesepuluh mengadakan rumah terbuka rasminya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, ia merupakan langkah di luar kotak yang menepati semangat Reformasi dan Madani.
Reformasi kerana ia melakukan suatu perubahan untuk mendekati rakyat, terutama orang Melayu. Madani pula keraba ia bersifat menyantuni rakyat umum yang tinggal jauh dari Lembah Klang.
BACA JUGA: Satu isu asas dari pembangkang untuk pilihan raya negeri
Â