Mujur kata-kata Hadi “esok angkat sumpoh” tak jadi kenyataan

Mujur kenyataan Presiden Pas bahawa parti itu sudah cukup jumlah dan “bakal angkat sumpah” pada pilihan raya yang lalu tidak menjadi kenyataan, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Agus berkata, berdasarkan pemerhatiannya terhadap parti yang diketuai Tan Sri Abdul Hadi Awang, perjuangan parti itu sudah berubah secara keseluruhan (total), bahkan jelas terlihat kegelojohan Pas memanipulasi Islam untuk memburu kekuasaan.

Beliau juga menganggap Pas sebagai parti yang akan menyerang sesiapa sahaja secara berjemaah sekiranya berbeza pendapat dengan parti itu

“Serangan tersebut tentunya penuh emosi, tanpa adab dan akhlak. Kita akan diberikan pelbagai gelaran jelek. Karakter kita dicemarkan. Kekuatan mental kita dilumpuhkan. Kita dituduh menolak Islam.

“Tidak cukup dengan agama, Pas turut memperjuangkan isu kaum dan bangsa yang dahulunya mereka katakan assabiyah yang perlu ditolak.

“Pelik sungguh Pas ini, hukumnya berubah cepat. Lebih pelik lagi pengikutnya dan pentaksubnya ada dalam kalangan professional dan cerdik pandai,” katanya dalam satu catatan di Facebook pagi ini.

Beliau juga mengatakan tidak selesa dengan politik Pas sekarang, kerana sesiapa sahaja yang menegur dan mengkritik, pasti dianggap sesat dan jahat.

Contohnya ketika beliau membangkitkan isu air, sampah dan jalan yang sempit di Kelantan baru-baru ini. Dalam catatan itu, beliau menyenaraikan tiga perkara yang “merimaskannya” sepanjang beraya di Kelantan.

Antaranya isu air berkualiti teruk, jalan berlubang dan sampah berlonggok di merata tempat. Namun kata Agus, penyokong Pas menafikan dengan pelbagai cemuhan.

“Menakjubkan, mereka bahagia dengan kekurangan yang ada asalkan “Pas perjuangkan Islam.”

“Saya fikir politik Pas sebegini perlu ditolak. Saya harap sangat anak muda dan pengundi yang mahukan negara kita maju dan harmoni menolak politik sebegini. Negara kita perlu aman untuk rakyatnya hidup sejahtera.

“Mujurnya, dalam PRU lepas kata-kata “Kito sudah cukop jumloh. Esok angkat sumpoh” tidak menjadi kenyataan. Alhamdulillah,” katanya.

Baca juga: Ooo kamu buat kat Shah Alam takpa no…