PN ketandusan modal, amal politik Marang

Naib Ketua Wanita PKR Pusat Faizah Ariffin yang juga Ketua Wanita PKR Terengganu mengkritik blok pembangkang Perikatan Nasional sebagai blok yang ketandusan modal.

“Jelas, pembangkang ketandusan modal untuk menyerang kerajaan sehinggakan memberi rakyat makan pun dijadikan isu oleh Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pesan kami agar semua pihak mengambil semangat syawal dan saling mengamalkan politik secara matang dan bukan hanya politik cara ‘Marang’.”

Politik Marang merujuk kepada ucapan dan penulisan presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bersifat memecahbelahkan masyarakat.

Kenyataan di atas dibuat ekoran tindakan pemimpin dan blok pembangkang – Perikatan Nasional yang mempolitikkan acara sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam buah negeri.

Faizah turut menyatakan bahawa sambutan Aidillfitri yang dinyahpusatkan membuka peluang kepada rakyat yang tidak pernah menyambutnya bersama perdana menteri untuk berbuat demikian.

Antara pihak yang banyak mengkritik adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor yang juga pengarah pilihan raya PN.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani akan bermula di Alor Setar pada 29 April diikuti Bukit Mertajam (6 Mei), Seremban (7 Mei), Kota Bharu (12 Mei), Kuala Terengganu (13 Mei) dan Gombak (14 Mei).

Beberapa pihak lain turut menempelak tindakan PN.