Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bukan pembaziran

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpendapat Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri bukan satu pembaziran malah ia usaha meraikan rakyat sempena Aidilfitri.

“Rumah terbuka nak sambut raya dengan rakyat tidak usah kira sangatlah, apa sangat nak jamu ketupat, lemang kepada rakyat.

“Ada makanan (antaranya) lemang, ketupat, sate. Itu menu yang saya sahkan semalam, akan ada (juga) gerai-gerai, ada cendol, ada ais kacang, berapa duit sangat, tidak membazirlah insya-Allah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, majlis berkenaan bukan kempen PRN sebaliknya ia pendekatan untuk pemimpin nombor satu negara itu berjumpa rakyat.

Dalam pada itu, Saifuddin menambah tiada halangan untuk Sanusi ataupun ‘poster boy’ menghadiri majlis itu nanti memandang ia merupakan rumah terbuka.

“Apabila kita hebahkan, maka ‘mai’lah (datanglah). Ini kan sambutan hari raya dan sebab itulah semua dijemput hadir,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim turut membidas pembangkang yang sentiasa cuba mencari kesilapan Perdana Menteri menerusi ciapan di Twitternya.

“Apa yang PMX buat semua tak betul. Rumah terbuka pun salah, basmi kemiskinan tegar pun salah.

“Silap haribulan, kalau PMX nak pulihkan masalah air di Kelantan pun nanti dianggap agenda Freemason.

“Sakit. Hati mereka ini sakit,” ciapnya.

Selain Kedah, majlis Aidilfitri bersama Perdana Menteri dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).