Rumah Terbuka Madani: Pas nasihat PM Anwar bertaubat

Pas berterusan mempersoal penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam negeri yang bermula di Kedah pada 29 April ini.

Malah, pemimpin dalam parti dikepalai Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menggesa supaya Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk ‘bertaubat’.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Zurk Ahmad menasihati Perdana Menteri agar berbuat demikian dan menganggap majlis yang dapat memberikan peluang kepada rakyat untuk hadir itu sebagai ‘terkebelakang’.

Dia juga berpendapat rakyat sentiasa menilai sikap Anwar yang kononnya “mengkhianati perjuangan reformasi selama ini”.

“Nasihat kami (Pas) kepada PMX, bertaubatlah daripada sesuka hati menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan politik yang sempit.

“Jangan diteruskan budaya politik yang jijik dan terkebelakang seperti ini.

“Kami percaya rakyat akan sentiasa memerhati dan menilai sikap PMX yang dilihat hilang prinsip dan sentiasa mengkhianati perjuangan reformasi selama ini,” katanya yang disiar Harakahdaily hari ini.

Malah, Zurk mempersoal sama ada Anwar amat terdesak untuk berhadapan dengan “gelombang penolakan rakyat” di enam negeri yang akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Selepas Kedah, Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri akan diteruskan di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

Kemuncak sambutan rumah terbuka yang buat julung kali diadakan semasa pentadbiran kerajaan dipimpin Anwar ini ialah di Selangor pada 14 Mei.

Dalam hal berkaitan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program yang dijadualkan antara jam 10.30 pagi hingga 11 malam bergantung pada negeri terbabit tiada kaitan dengan PRN.

Presiden AMANAH itu dilapor pada 23 April lalu berkata, majlis tersebut adalah usaha kerajaan Persekutuan mendekati rakyat dan kepimpinan kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.

Jelasnya, bukan semua rakyat orang dari negeri lain dapat berkunjung ke majlis itu jika diadakan di Seri Perdana, Putrajaya.

Bahkan, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, banyak acara peringkat kebangsaan juga dirancang diadakan di luar Putrajaya bagi mencapai hasrat menguatkan kerjasama dengan negeri termasuk dipimpin pembangkang.

BACA JUGA Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri PRN