Selangor laksana kerja turapan jalan besar-besaran dalam masa terdekat – Exco

Kerajaan Selangor akan melaksanakan kerja-kerja turapan membabitkan jalan raya di seluruh negeri itu secara besar-besaran melibatkan perbelanjaan sehingga RM50 juta dalam masa terdekat.

Exco Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata projek tersebut akan bermula di kawasan yang paling banyak menerima laporan kerosakan.

“Kita sudah bincang secara menyeluruh mengenai projek ini sebelum sambutan Aidilfitri dan sudah diteliti satu persatu.

“Jadi ia akan berjalan selepas ini menggunakan dana khas Kerajaan Negeri. Tak ganggu mana-mana peruntukan,” katanya lapor Selangorkini.

Sebelum ini, Izham dilaporkan berkata projek berkenaan akan melibatkan jalan-jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sehubungan itu, PBT di Selangor telah diminta untuk mengenal pasti dan menyenaraikan jalan-jalan kritikal di kawasan pentadbiran masing-masing yang perlu diturap bagi membolehkan tampalan dibuat.

Menurutnya, projek turapan mega itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan dilaksanakan untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Terdahulu, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya di negeri berkenaan menerusi Bajet 2023.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, sebanyak RM40.98 juta diagih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu.

Menurutnya, ia melibatkan beberapa lokasi seperti Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada 16 Januari lalu Amirudin memaklumkan projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan bawah kelolaan negeri.

BACA JUGA: Harga barang: Selangor cari mekanisme baharu lepas Jelajah Ehsan tamat Mei