Siasatan JKR dapati sistem paip bekalan air punca tanah runtuh – Menteri

Kejadian tanah runtuh di kawasan berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam berpunca daripada kebocoran sistem perpaipan bekalan air hingga menyebabkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati keadaan itu telah meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile.

ALEXANDER NANTA LINGGI

Keputusan itu merupakan hasil siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR berikutan kejadian tanah runtuh itu.

“Sebahagian tembok penahan tersebut telah runtuh bersama-sama dengan tanah cerun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata taburan hujan di Stesen Sentul untuk empat hari dari 21 hingga 24 April lalu juga mencatatkan bacaan yang tinggi antara 16.0 mm hingga 47.5 mm.

“Semasa kejadian cuaca adalah baik dan tiada hujan langsung,” ujarnya.

Dalam hal ini, beliau berkata JKR memerlukan lukisan terbina (As-built Drawing) struktur tembok penahan sedia ada daripada pihak pemilik bangunan untuk membuat semakan lanjut terhadap struktur tembok penahan berkenaan.

Kerja-kerja pembersihan tapak bermula petang ini melalui kontraktor yang dilantik serta kerja-kerja pemasangan tarpaulin sheet di kawasan cerun runtuh bagi mengelakkan resapan air hujan terus ke tanah.

“Kerja-kerja pemasangan tilt sensor bagi memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut dijangka akan dipasang bermula esok (27 April)” ujarnya.

Terdahulu JKR dalam hantaran di Facebook berkata Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun, Cawangan Kejuruteraan Geoteknik dan Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, JKR telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut sejak pukul 9.15 pagi.

Pasukan itu diketuai Ir Badioezaman Ab. Khalik yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan).

“JKR dan pelbagai agensi sedang giat melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan di kawasan kejadian. Laporan terperinci hasil daripada pemeriksaan akan diserahkan kepada pihak berkepentingan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut turun padang melawat ke lokasi kejadian pagi tadi untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

HANNAH Yeoh turun padang melawat lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran bangunan MACA di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada 26 April 2023. Foto FB JKR

 

BACA JUGA: Tanah runtuh: Bangunan MACA dikosongkan, 45 dipindah