ADUN Rawang hiasi Syawal dengan aktiviti ziarah kasih

Bagi mengisi makna Aidilfitri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat menjalankan aktiviti ziarah kasih bagi menyantuni penduduk di sekitar kawasannya.

Menurutnya, aktiviti ziarah tersebut adalah kelaziman beliau sepanjang bergelar wakil rakyat bagi mengeratkan hubungan dengan penduduk tempatan.

“Dalam program ziarah ini, rakyat dapat menyatakan apa jua permasalahan di kawasan kampung dan masalah secara peribadi.

“Ini adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk membolehkan hubungan antara pihak kerajaan negeri dengan rakyat tidak terputus dan terus membantu rakyat tanpa mengira kaum.

“Ia selari dengan semangat yang disarankan oleh Perdana Menteri untuk sentiasa melakukan politik khidmat kepada rakyat,” katanya menerusi penstriman langsung Harapan Daily hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon 15, Alice Choo.

Dalam pada itu, penerima bantuan Shukor Ismail, 59, menzahirkan rasa syukur takkala menerima sumbangan katil khas buat dirinya yang menghidap kanser.

“Saya mengucapkan syukur dan terima kasih atas sumbangan ini,” ujarnya sambil menitiskan air mata.

Chua Wei Kiat di sisi Shukor Ismail yang tidak menahan deraian air mata.

Pada masa sama, Chua yang juga Timbalan Penerangan PKR menyarankan mana-mana individu yang berisiko dengan penyakit kanser untuk segera mendaftar Skim Bantuan Sihat Selangor (BSS).

“Setakat ini, Pejabat ADUN Rawang menerima lebih daripada 50 permohonan yang mendaftar di bawah skim tersebut iaitu antara rekod yang tertinggi di Selangor.

“Kami mengharapkan orang ramai untuk terus memanfaatkan skim ini dan juga inisiatif-inisiatif yang lain supaya rakyat dapat menikmati faedah daripada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Untuk rekod, di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyediakan bantuan pembiayaan sebanyak RM5,000 pesakit kanser di bawah BSS.

Selain itu, kerajaan negeri juga memperkenalkan Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor dan Program Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor dengan peruntukkan sebanyak RM65.6 juta di bawah induk Iltizam Selangor Sihat (ISS).