C4 Center sambut baik pencegahan rasuah bersasar SPRM

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menyambut baik usaha inisiatif pencegahan rasuah bersasar yang diusahakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemangku ketua pegawai eksekutif C4, Pushpan Murugiah berkata program bersasar yang dilaksanakan itu sepatutnya telah dilakukan sejak dari dulu lagi bagi membolehkan gejala rasuah dapat dibanteras dengan jayanya di negara ini.

Menurutnya, masyarakat hanya akan meyakini keberkesanan tindakan SPRM apabila mereka benar-benar percaya dengan kewibawaan serta integriti suruhanjaya itu.

“Kerajaan seharusnya terlebih dahulu meyakinkan rakyat dengan melangsungkan reformasi terhadap SPRM.

“Ini bertujuan untuk memastikan bahawa SPRM merupakan sebuah badan yang benar-benar berkecuali dan bebas,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi.

Katanya, hanya melalui pendekatan ini persepsi rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi yang bebas dapat diubah dan sekali gus menolak persepsi negatif.

Tambah Pushpan, sekiranya terdapat persepsi yang kurang baik oleh rakyat terhadap kepimpinan SPRM, inisiatif yang sedang diusahakan itu tidak akan mendapat sambutan yang sepatutnya daripada rakyat.

Hari ini, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata SPRM melaksanakan program bersasar ini memberi tumpuan terhadap isu kartel, ketirisan dana kerajaan, pelanggaran undang-undang dan ketidakcekapan dalam mengutip hasil kerajaan.

Ia melibatkan sektor perolehan kerajaan, sektor dana awam atau peruntukan kerajaan dan sektor penguatkuasaan sepanjang tahun ini bagi mencegah berlakunya amalan rasuah.

Sebanyak 33 program bersasar telah dilaksanakan di dalam suku pertama tahun ini.

Â