Krisis air Kedah: ‘Pihak Sanusi berani ambil kerajaan tapi tidak mahu bertanggungjawab’

Tidak betul dakwaan penyokong Perikatan Nasional (PN) kononnya sesiapa yang mentadbir Kedah sama sahaja kerana gagal dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu bertahan tidak sampai dua tahun apabila dirampas oleh pihak PN.

Menurutnya, pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini sudah tiga tahun dan sepatutnya mampu menangani krisis air di negeri tersebut bukannya hanya suka berceramah.

“Sebagai makluman, kerajaan kami (PH) ditebuk atap oleh pihak Sanusi ketika di tengah jalan pemerintahan sewaktu kerajaan baru berusia 22 bulan berbanding kerajaan beliau (Sanusi) pada ketika ini telah berusia tiga tahun (36 bulan).

“Berani ambil kerajaan beranilah bertanggungjawab. Atau sekadar berani ambil kerajaan tetapi tidak mampu dan tidak mahu bertanggungjawab?” bidasnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Asmirul mempersoal mengapa Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tidak ingin muncul sebagai wira untuk memulihkan bekalan air.

“Kenapa tidak mahu menjadi pembela kepada rakyat Kedah sendiri yang sedang berhadapan dengan bekalan air?

“Atau adalah MB Kedah sudah terkesima serta gagal kerana sudah tidak mampu berbuat apa-apa?” bidasnya.

Aidilfitri tahun ini menyaksikan kira-kira sejuta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah dilapor mengalami krisis bekalan air yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Malah, terdapat kawasan yang tidak mendapat bekalan air mencukupi sejak tiga bulan lalu.

Situasi bertambah buruk pada musim perayaan ini apabila berlaku peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus di negeri itu disebabkan antara lain anak perantau kembali ke kampung halaman.

Ada penduduk turut mendakwa lori tangki yang sepatutnya menghantar bekalan air tidak masuk ke kawasan mereka.

Mengulas lanjut, Asmirul Anuar berpendapat pentadbiran Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah gagal walaupun sudah tiga tahun menerajui negeri.

“Kalau tidak disebut gagal, apakah lagi yang perlu dikatakan kepada MB Kedah selaku pemimpin nombor satu negeri Kedah yang juga Pengerusi SADA pada ketika sudah tiga tahun berkuasa?

“36 bulan (hampir 3 tahun) Kedah diperintah oleh parti pemerintah yang sama di negeri dan negara sebelum PRU-15. Apa yang anda buat dalam tempoh itu untuk menyelesaikan masalah air?” bidasnya lagi.

Pada Mac lalu, Sanusi dilapor berkata, masalah bekalan air di Kedah tidak sampai ke tahap krisis meskipun terjejas, berikutan fenomena La Nina.

Menurutnya, sumber air mentah di negeri itu juga tidak terjejas memandangkan takungan sedia ada mencukupi yang disahkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Untuk rekod, Sanusi, 49, dikenali sebagai menteri besar dari PN yang kerap mengeluarkan banyak kenyataan kontroversi sehingga dianggap gemar ‘berkelahi’ dengan banyak pihak selain sering melemparkan fitnah terhadap PH dan kerajaan Madani dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA JUGA Masalah bekalan air Kedah: ‘Jangan hanya kokok sahaja berdegar-degar’